Muallim jadi pusat tanaman jambu batu
TANJUNG MALIM - Muallim yang merupakan daerah yang ke-11 di Perak mula popular bagi penggemar buah-buahan tempatan kerana keunikan jambu batu yang ditanam secara komersial di kawasan ini.
Selain memberi pendapatan kepada peladang tempatan, jambu batu dari varieti GU11 yang ditanam di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), SKC Slim River dari segi kualitinya amatlah menarik perhatian kerana saiznya yang besar, rangup di samping rasanya yang manis.
Seorang pengusaha ladang, Lee Ah Kow, 69, dia memulakan tanaman jambu batu secara komersial selepas melihat prospek masa depan tanaman tersebut sejak 12 tahun lalu.
Hari ini, dia boleh berbangga atas hasil usahanya yang berjaya menanam lebih 1,000 jambu batu di atas tanah seluas 10 hektar selain menjadi pengeluar terbesar hasil tanaman tersebut di kawasan berkenaan.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai tukang emas. Bagaimanapun, saya meninggalkan bidang itu (tukang emas) dan meneroka bidang pertanian kerana yakin ia mampu memberi pulangan lumayan.
“Mula-mula dulu, saya usahakan tanaman betik, namun tanaman itu mudah diserang penyakit. Kemudiannya saya beralih kepada tanaman jambu batu dan ia mula berkembang dengan baik,” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.
Tambah Ah Kow, minatnya untuk meneruskan tanaman jambu batu dikembangkan dengan mempelajari kaedah menanam, pembajaan serta penjagaan yang betul bagi mengekalkan khasiatnya yang kaya dengan vitamin C, D, zat besi, natrium, fosforus dan karotin.
Malah, dua turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) menerusi sewaan tanah di KTPM SKC Slim River dan mampu memungut hasil jambu batu sebanyak satu hingga tiga tan metrik sehari.
Malah, Jabatan Pertanian Negeri Perak katanya turut membantu dari segi khidmat nasihat, baja, kemudahan infrastruktur serta kemudahan stor.
Setakat ini kataya, hasil pengeluaran buah memenuhi kualiti serta standard pasaran negara selari dengan Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP).
"Buah jambu batu ini saya jual pada harga antara RM3 hingga RM5 sekilogram untuk pasaran di sekitar Perak dan Selangor. Selain itu, tanah sedia ada saya tambah dengan aktiviti tanaman pokok ciku dan madu kelulut,” ujarnya.
Pembangunan sektor pertanian dan keterjaminan makanan merupakan agenda pertama dalam pelaksanaan pelan Perak Sejahtera 2030 yang telah digagaskan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Agenda itu diperkemaskan dengan pelaksanaan program kerajaan negeri iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia bagi memastikan ketersediaan kuantiti makanan yang mencukupi serta berkualiti untuk kegunaan domestik dan eksport.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!