Jumlah penawaran, penggunaan Malaysia naik kepada RM4.6 trilion
JUMLAH penawaran dan penggunaan Malaysia meningkat sebanyak 13.2 peratus tahun ke tahun kepada RM4.6 trilion pada 2021 yang mencerminkan keupayaan negara dalam menghadapi cabaran ekonomi yang berterusan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan dua digit itu mencerminkan pemulihan beransur-ansur daripada pandemik Covid-19 berikutan pembukaan semula ekonomi Malaysia.
Beliau berkata, sebagai rumusan bagi 2021, penawaran dan peningkatan telah didorong oleh pengeluaran domestik yang mencatat nilai RM3.61 trilion (pertumbuhan 10.6 peratus) manakala nilai import RM981.9 bilion (pertumbuhan sebanyak 25.4 peratus).
"Dari segi sumbangan, pengeluaran domestik menyumbang secara signifikan sebanyak 78.0 peratus pada 2021 sementara import dan cukai bersih ke atas produk merekodkan sumbangan masing-masing 21.2 peratus dan 0.8 peratus.
"Pengeluaran domestik telah dipacu oleh sektor pembuatan yang menyumbang 45.0 peratus,” katanya dalam kenyataan Jadual Input-Output 2021 yang dikeluarkan hari ini.
DOSM berkata penggunaan akhir merekodkan 54.7 peratus (2020: 53.9 peratus) manakala penggunaan perantaraan mencatat 45.3 peratus (2020: 46.2 peratus).
Penggunaan akhir meningkat 15.0 peratus daripada RM2.2 trilion pada 2020 kepada RM2.53 trilion pada 2021.
"Dalam komponen penggunaan akhir misalnya, eksport menjadi penyumbang tertinggi pada 43.2 peratus dan diikuti oleh penggunaan swasta dengan 35.5 peratus.
"Pada masa sama, penggunaan perantaraan meningkat 11.0 peratus kepada RM2.0 trilion (2020: RM1.9 trilion),” katanya.
Selain itu, dari konteks analisis rantaian, sektor pembuatan menunjukkan nilai 1.97 dan 1.76, masing-masing bagi rantaian ke belakang dan ke hadapan ketika sektor pembuatan dan utiliti menjadi sektor utama dalam ekonomi.
"Pertumbuhan dalam sektor-sektor ini akan mendorong perkembangan sektor lain, disumbangkan oleh kebergantungan tinggi bagi kedua-dua rantaian penawaran dan penggunaan dalam ekonomi,” katanya.
DOSM berkata, bagi analisis pengganda, sektor pembinaan mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang utama pengganda output dengan nilai 1.98 pada 2021.
"Ini menunjukkan sektor pembinaan akan merangsang pengeluaran domestik dalam ekonomi secara keseluruhan.
"Dari sudut nilai ditambah pula, sektor perlombongan dan kuari mencatat pengganda nilai tambah tertinggi iaitu 0.92,” kata jabatan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!