Iran rampas kapal, 16 rakyat Malaysia ditahan
TEHRAN - [DIKEMASKINI] Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) menahan 16 kru warga Malaysia dan merampas sebuah kapal yang dipercayai menyeludup minyak, menurut media tempatan semalam.
Laman web stesen TV, IRIB melaporkan rampasan itu melibatkan sebanyak 1.3 juta liter minyak dari kapal tidak dinamakan itu di kawasan 15 batu nautika dari Abu Musa, salah satu daripada tiga kepulauan di Teluk Arab yang berada di bawah kawalan Teheran, namun dituntut Emiriah Arab Bersatu (UAE).
"Ia adalah kapal keenam yang disyaki menyeludup minyak dan dirampas," kata jurucakap unit tentera laut IRGC, Brigadier Jeneral Ali Ozmayi.
Pada September lalu, Iran merampas sebuah bot dan menahan 12 kru warga Filipina yang didakwa terlibat dalam sindiket mencuri minyak di Selat Hormuz.
Langkah sama turut diambil ke atas kapal tangki minyak asing di perairan Teluk pada 14 dan 31 Julai lalu, namun ia tidak mendedahkan identiti kapal serta kru mereka.
Ketegangan semakin meningkat di Teluk pada tahun ini selepas Amerika Syarikat meningkatkan kempen memberikan tekanan maksimum terhadap Teheran selepas ia menarik diri daripada perjanjian nuklear, Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada 2018. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!