[VIDEO] Sempat selamatkan barang sebelum air naik
HULU TERENGGANU - Seorang suri rumah sempat menyelamatkan barang termasuk dokumen penting sebelum kediamannya dinaiki air di Kampung Kemat, dekat sini.
Zurina Kateman, 43, memberitahu sudah membuat persediaan awal sebulan lalu berikutan masih trauma kerana kediamannya yang terletak berhampiran itu pernah ditenggelami air sehingga paras bumbung.
"Hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan air naik lebih satu meter. Kami pun terus berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada jam 1 tengah hari semalam setelah melihat rumah sudah dinaiki air.
"Alhamdulillah, semua barangan termasuk baju dan dokumen penting sudah disimpan dan dibawa ke sini. Kita sememangnya sudah bersedia sejak awal dengan memindahkan barangan keperluan ke tempat lebih selamat," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Kemat, di sini pada Jumaat.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian ketika memasuki kampung berkenaan mendapati laluan di jambatan tersebut rosak namun masih boleh dilalui kenderaan.
Menurut Zurina, hujan lebat berterusan menyebabkan paras air sungai meningkat sehingga menenggelamkan jambatan berkenaan.
Katanya, laluan menuju ke jambatan berkenaan rosak akibat dibadai arus deras sungai.
"Jalan akan rosak macam ini setiap tahun. Kalau dibaiki pun memang tak akan pulih sepenuhnya sebab akan rosak semula akibat kena arus air," ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Mamat Jusoh, 42, berkata, dia bersama ibunya, Rahmah Taib, 80, yang kini menghidap sakit tua juga perlu berpindah ke PPS susulan kediamannya dinaiki air.
"Buat masa ini tak boleh balik lagi ke rumah sebab tengok keadaan cuaca hujan masih tidak berhenti.
"Jadi perlu tunggu beberapa hari lagi untuk pastikan keadaan betul-betul selamat baru balik ke rumah semula.
"Kita jangka kalau hujan lebat masih berterusan sehingga petang ini sememangnya jambatan ini akan ditenggelami air. Oleh itu, kenderaan tak boleh lalu dan penduduk kena naik bot untuk menyeberangi jambatan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!