Agong berkenan tunai solat Jumaat di Masjid Raja Lumu
KUALA SELANGOR - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Lumu, Kuala Selangor di sini pada Jumaat.
Al-Sultan Abdullah berangkat tiba di masjid itu pada jam 1 tengah hari.
Keberangkatan Al-Sultan Abdullah diiringi anakanda Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Khutbah Jumaat bertajuk 'Raja Berdaulat Menjunjung Kasih Titah Ditaat' disampaikan Imam Besar Masjid Negeri Selangor, Muhammad Farhan Wijaya.
Muhammad Farhan dalam khutbahnya berkata, struktur tertinggi pemerintahan negara dipayungi oleh Yang di-Pertuan Agong bertindak sebagai ketua negara berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 32(1).
"Maka sebagai ketua utama negara, Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua tertinggi Persekutuan yang mempunyai keutamaan lebih daripada orang lain di samping mempunyai kuasa luas dan penting dalam menstabilkan negara serta melaksanakan urusan kerajaan Persekutuan," jelas beliau.
Sehubungan itu, kata beliau, rakyat hendaklah menjunjung kasih kepada baginda sebagai pemimpin kerana ia juga termasuk dalam salah satu perintah agama.
"Oleh itu, inilah tanggungjawab dan kewajipan yang saling melengkapi antara satu sama lain dan akan membuahkan natijah yang menyeluruh kepada semua," tambahnya.
Muhammad Farhan memberitahu, mentaati arahan dan titah pemerintah merupakan suatu tuntutan dalam Islam bagi memastikan kestabilan dan keharmonian sesebuah negara berjaya dicapai dan dikekalkan.
"Mana mungkin sesuatu negeri atau negara akan tenteram dan dapat menikmati hidup rukun damai, jika rakyat dan pemimpin saling bercakaran dan menyalahkan antara satu sama lain," jelas beliau.
Katanya, umat Islam di negara ini seharusnya bersyukur kerana Al-Sultan Abdullah merupakan pemerintah yang adil dan prihatin kepada masalah dihadapi oleh rakyat.
Jelasnya, di bawah pemerintahan baginda telah berjaya melaksanakan tanggungjawab menerajui kepimpinan negara dengan baik pada ketika rakyat menghadapi musibah dan keperitan hidup mendepani ujian besar pandemik Covid-19.
"Baginda juga telah menggunakan kebijaksanaan baginda di dalam mengatasi dan mengimbangi kestabilan politik tanah air yang suatu ketika dulu pernah melalui detik mencabar dengan penuh hikmah dan adil," ujar beliau.
Al-Sultan Abdullah bersama kira-kira 700 jemaah kemudian menunaikan solat Jumaat diimamkan oleh Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Sheikh Abdul Karim Omar.
Baginda kemudian meluangkan masa bersalaman dengan jemaah dan berkenan berangkat ke majlis santapan.
Sultan Selangor berkenan merasmikan Masjid Raja Lumu pada 6 Oktober tahun lalu yang sebelum ini dikenali sebagai Masjid Pekan Lama Kuala Selangor.
Sultan Sharafuddin memberi perkenan mengiktiraf Masjid Raja Lumu yang dinaik taraf dengan kos keseluruhan berjumlah RM10.4 juta sebagai Masjid Diraja yang kesembilan di negeri ini.
Masjid Raja Lumu dipilih sempena nama Raja Lumu yang merupakan Sultan Selangor pertama, dikenali sebagai Sultan Salehuddin Shah yang memerintah dari tahun 1766 hingga 1782.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!