47 warga asing ditahan dalam Ops Mahir di Johor
KLUANG - Seramai 47 warga asing ditahan dalam Ops Mahir di kawasan kilang di sini pada Jumaat.
Menurut Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir, operasi itu dibuat susulan aduan awam berhubung tindakan beberapa premis menggajikan warga asing yang tidak mempunyai pas atau permit kerja yang sah.
“Ops Mahir ini menyasarkan warga asing yang menggunakan slip Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 sebagai lesen untuk bekerja di negara ini secara tidak sah.
“Dalam Ops ini, seramai 135 warga asing melibatkan 23 lelaki warga India, Bangladesh (21), Sri Lanka (dua) dan seorang warga Pakistan telah diperiksa dan kesemua yang ditahan dalam lingkungan 22 tahun hingga 56 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kesemua yang ditahan melakukan kesalahan dibawah Seksyen 6(1)(c) iatu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah, Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa, Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS) dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresn 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.
Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut.
Sementara itu Baharuddin berkata, pihaknya meminta kesemua majikan untuk segera merebut peluang bagi mendaftarkan pekerja warga asing yang memenuhi syarat dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 yang tamat pada 31 Disember 2023.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap majikan yang tidak mengambil kesempatan menyertai program tersebut dan didapati menggaji pekerja (warga asing) yang tidak memiliki dokumen yang sah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!