Seksyen lelaki goda bini orang dimansuh - Mahkamah

Istana Kehakiman.
Istana Kehakiman.
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Persekutuan di sini memutuskan kes lelaki menggoda isteri orang, mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan tidak lagi boleh diguna pakai dan dimansuhkan.

Ia selepas panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan persoalan undang-undang oleh seorang ahli perniagaan untuk mendapatkan perisytiharan bahawa seksyen berkenaan tidak berperlembagaan.

Tengku Maimun berkata, seksyen itu dimansuhkan kerana ia melanggar prinsip asas membabitkan kesamarataan jantina.

Ketika membaca penghakiman ringkas, Tengku Maimun berkata, seksyen itu merupakan peruntukan undang-undang sebelum merdeka atau undang-undang sedia ada seperti takrifan Perkara 162 Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 162(6) memberi kuasa kepada mahkamah atau tribunal, untuk mengubah atau meminda peruntukan undang-undang untuk diselarikan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Bagaimanapun keputusan ini berkuat kuasa untuk kes-kes akan datang, bertujuan memelihara pendakwaan terdahulu,” katanya yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Abu Bakar Jais dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

Susulan itu, panel berkenaan memerintahkan kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan hakim berkenaan membuat perisytiharan atau perintah berkaitan prosiding yang kini berjalan di Mahkamah Majistret.

Dalam prosiding itu, peguam, J Jayarubbiny, Jay Moi Wei Jiun dan Puteri Batrisyia Abdul Latif hadir bagi mewakili ahli perniagaan tersebut selaku pemohon manakala responden dibarisi Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim serta Eyu Ghim Siang.

Artikel Berkaitan:

Pada Mac lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor membenarkan permohonan seorang lelaki, untuk merujuk persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan untuk diputuskan.

Ia selepas lelaki berusia 53 tahun itu didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor pada 2020, atas kesalahan menggoda isteri orang, sejurus suami wanita terbabit membuat laporan polis.

Dia didakwa mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding hujahan 18 Julai lalu, Jayarubbiny memohon agar seksyen yang menjenayahkan perbuatan lelaki menggoda isteri orang adalah tidak berperlembagaan dan perlu dimansuhkan kerana bersifat diskriminasi.

Katanya, pindaan terhadap Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan untuk memasukkan perkataan ‘jantina’ membuktikan bahawa Parlimen, sebagai penggubal undang-undang di Malaysia telah memberi isyarat bahawa wanita dan lelaki perlu dilihat sama rata serta mempunyai hak yang sama.

Bagaimanapun, Yusaini Amer menghujahkan, seksyen itu tidak bersifat diskriminasi atau bercanggah kerana wanita berkahwin tidak boleh diklasifikasikan dalam kategori yang sama dengan lelaki.

Katanya, terutama dalam aspek perlindungan daripada keganasan dan jenayah kerana ia mempunyai kriteria berbeza.

Katanya, Seksyen 498 adalah satu perundangan dengan matlamat bagi melindungi hak suami dalam mengekalkan perkahwinan dengan si isteri apabila pihak ketiga telah menggoda atau merampasnya.