Imbasan 2019: Berita Istana

A
A
A

6 JANUARI 2019 - Sultan Muhammad V Agong pertama letak jawatan

SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 berkuat kuasa 6 Januari 2019

Perkara itu diumumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz melalui kenyataan media Istana Negara.

Sultan Muhammad V yang diputerakan pada 6 Oktober 1969 di Kota Bharu, Kelantan mengangkat sumpah jawatan Yang di- Pertuan Agong pada 13 Disember 2016 dan ditabalkan pada 24 April 2017.

22 MEI 2019 - Sultan Ahmad Shah mangkat di IJN

PADUKA Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al- Musta’in Billah mangkat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, jam 8.50 pagi.

Almarhum mangkat pada usia 88 tahun.

Istiadat pemakaman jenazah Almarhum diadakan di Makam Diraja Pekan, Jalan Sultan Ahmad, Pekan dan disemadikan bersebelahan pusara isteri, Almarhum Tengku Ampuan Hajjah Afzan Rahimahallah Almarhum Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad.

Artikel Berkaitan:

Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah yang merupakan Sultan Pahang kelima menyerahkan takhta kepada anakanda baginda, Tengku Abdullah, pada 12 Januari 2019 selepas memerintah negeri Pahang hampir 45 tahun.

Baginda dilantik menjadi Sultan Pahang kelima pada 7 Mei 1974 berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Abu Bakar dan istiadat pertabalan berlangsung di Balairong Seri, Istana Abu Bakar, Pekan pada 8 Mei 1975.

30 JULAI 2019 - Sultan Abdullah ditabalkan Yang di-Pertuan Agong ke-16

AL-SULTAN Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat ditabalkan secara rasmi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Sultan Abdullah, melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di- Pertuan Agong pada 31 Januari bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan berkenaan pada 6 Januari lalu.

Seri Paduka dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang keenam pada 15 Januari 2019.

15 SEPTEMBER 2019 - Permaisuri Agong popular di laman sosial

SELEPAS ditabalkan sebagai Raja Permaisuri Agong, berita mengenai Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sentiasa menjadi tumpuan dan bualan rakyat jelata.

Bukan setakat pada majlis rasmi kerajaan mahupun di khalayak ramai, malah juga di laman sosial Twitter, ramai pengikut sentiasa menantikan kemunculan Seri Paduka.

Terbaharu, tanpa disangka-sangka, pemilik sebuah kedai makan di Kuantan, Pahang bertuah kerana menerima kunjungan Tunku Azizah yang mahu menikmati mi bandung yang dijualnya.

28 SEPTEMBER 2019 - Sultan Ismail Petra mangkat

SULTAN Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, 70, mangkat di Wad Diraja Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan jam 8.11 pagi 28 September.

Almarhum ialah ayahanda kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V.

Jenazah Almarhum Sultan Ismail Petra dibawa ke Istana Balai Besar untuk istiadat penghormatan kali terakhir sebelum istiadat pemakaman dilangsungkan selepas solat asar di Makam Diraja Langgar, Kota Bharu Kelantan.

Almarhum baginda pernah menerima rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana mengalami strok pada 14 Mei 2009.

8 NOVEMBER 2019 - Agong prihatin nasib mangsa kemalangan

KEPRIHATINAN Yang di- Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah terserlah apabila baginda sanggup turun dari kenderaan rasminya bagi memeriksa keadaan mangsa kemalangan.

Pada 8 November 2019, baginda sendiri yang kebetulan melalui lokasi kemalangan, meninjau dan bertanya khabar kepada mangsa terbabit di dua lokasi berbeza.

Dua kemalangan itu dilaporkan berlaku di kawasan Cyberjaya dan susur masuk Plaza Tol MEX Putrajaya.

Sebelum ini pada Ogos 2019, baginda turut bertindak turun dari kenderaan rasmi untuk memeriksa keadaan seorang mangsa kemalangan, berhampiran persimpangan USJ, Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE).

Jun lalu, Al-Sultan Abdullah turut membantu mangsa kemalangan di Putrajaya ketika dalam perjalanan menghadiri Mesyuarat Pra-Kabinet dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Istana Melawati.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

Artikel Disyorkan