'Live location' isteri tidak bergerak, rupanya maut nahas bersama dua anak

Mohd Azman memangku jenazah anaknya, Muhammad Hafiy sebelum dibawa ke dalam kereta jenazah untuk dibawa pulang ke Kampung Pintu Gerbang,Bachok, Kelantan.
Mohd Azman memangku jenazah anaknya, Muhammad Hafiy sebelum dibawa ke dalam kereta jenazah untuk dibawa pulang ke Kampung Pintu Gerbang,Bachok, Kelantan.
A
A
A

KUALA LIPIS - Koperal Mohd Azman Mat Yaacob berasa tidak sedap hati selepas melihat lokasi masa sebenar (live location) yang dikongsikan isterinya, Nor Faizah Ridzuan menerusi aplikasi WhatsApp tidak bergerak walaupun beberapa kali memeriksa telefon pintarnya.

Mohd Azman, 36, yang bertugas di Balai Polis Petaling Jaya, Selangor segera menghubungi isteri dan telefon pintar anak sulung mereka, Muhammad Hariz Adrian, 10, namun semuanya tidak berjawab selain pesanan WhatsApp juga tidak dibalas.

Gerak hatinya tepat apabila menerima panggilan daripada polis daerah Lipis sekitar jam 4 pagi tadi, memaklumkan Nor Faizah, 34, Muhammad Hariz Adrian dan anak bongsunya Muhammad Hafiy Azman, tiga tahun, maut selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah treler.

"Saya tak sangka kali terakhir pertemuan kami ialah sebelum jam 12 tengah malam tadi... semasa kami sama-sama keluar rumah.

"Isteri dan anak bergerak pulang ke Kampung Tawang di Bachok (Kelantan) manakala saya menuju ke tempat kerja.

"Ikutkan mereka berada di kampung sehingga hujung bulan ini kerana cuti sekolah, dan saya akan menyusul untuk menjemput mereka pulang kerana tidak dapat bercuti lama," katanya ketika ditemui Bernama di Unit Forensik Hospital Kuala Lipis di sini pada Jumaat.

Nor Faizah bersama dua anak yang terkorban dalam kejadian terbabit.
Nor Faizah bersama dua anak yang terkorban dalam kejadian terbabit.



Mohd Azman berkata, isterinya yang merupakan suri rumah, seharusnya memulakan perjalanan selepas anak sulung mereka pulang dari sekolah hari ini, namun menukar fikiran untuk bergerak lewat tengah malam tadi.

Menurutnya, ia merupakan kali pertama Nor Faizah memandu bagi perjalanan jauh, namun beliau mengizinkan isterinya pulang bersama anak memandangkan mereka telah lama tidak pulang ke kampung.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor mengesahkan tiga beranak itu maut selepas kereta Perodu Alza dinaiki mereka hilang kawalan semasa melalui selekoh di kilometer 17 Jalan Lipis-Bentan di Penjom di sini sebelum bertembung dengan treler di jalan bertentangan.

Kejadian pada 2.25 pagi itu turut menyebabkan kereta mangsa diseret dan merempuh besi penghadang jalan, mengakibatkan semua mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Mohd Azman berkata, jenazah isteri dan anaknya akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Pintu Gerbang di Bachok hari ini.

Sementara itu, adik kepada Nor Faizah, Nor Fitrah, 30, berkata, dia sempat membuat panggilan video sebanyak dua kali dengan Muhammad Hariz Adrian, yang begitu seronok memberitahu mereka hendak pulang ke kampung.

"Panggilan pertama ialah sebelum mereka memulakan perjalanan. Saya berasa tidak sedap hati selepas itu kerana hari sudah lewat malam menyebabkan saya menghubungi Hariz (panggilan anak saudaranya) selang 10 minit kemudian.

"Saya pesan kepada kakak supaya hati-hati memandu kerana gelap dan banyak lori, namun kakak tidak menjawab apa-apa... mungkin sedang menumpukan perhatian (memandu)," katanya.

Nor Faizah yang menetap di Dungun, Terengganu berkata, dia tidak dapat melelapkan mata selepas panggilan itu sebelum menerima panggilan sekitar jam 4 pagi daripada seorang ahli keluarga memaklumkan kejadian yang menimpa kakak sulungnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!