Lelaki mabuk buat onar depan balai polis
AMPANG JAYA - Padah membuat provokasi di hadapan Balai Polis Ampang dekat sini, seorang lelaki yang dipercayai dalam keadaan mabuk itu diberkas pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.10 malam apabila suspek yang menunggang motosikal itu dipercayai berhenti di hadapan pos pengawal balai berkenaan.
"Suspek mendekati anggota polis sebelum bertindak membuat provokasi terhadap anggota berkenaan.
"Anggota polis kemudian memberikan amaran terhadap perbuatan suspek itu bagaimanapun tidak diendahkan sebaliknya suspek terus bertindak agresif," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Katanya, suspek kemudian bertindak mengeluarkan pisau lipat sebelum tindakannya itu dihalang oleh anggota polis bertugas.
"Berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota polis sebelum suspek kemudiannya berjaya diberkas ketika kejadian.
"Suspek dipercayai menghentak kepalanya sendiri di jalan ketika tangkapan sedang dijalankan mengakibatkan suspek mengalami kecederaan di dahi," katanya.
Menurutnya, semakan mendapati suspek memiliki lima rekod jenayah lampau.
"Turut dirampas adalah sebilah pisau lipat berwarna perak.
"Suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 90 Akta Polis dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan 1958," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!