Lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas jatuh longkang

Usaha mencari mangsa masih diteruskan di kawasan permukaan sungai dengan bot fiber sejauh tiga kilometer daripada longkang berkenaan. - Foto: BBP Kluang
Usaha mencari mangsa masih diteruskan di kawasan permukaan sungai dengan bot fiber sejauh tiga kilometer daripada longkang berkenaan. - Foto: BBP Kluang
A
A
A

KLUANG - Seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang sedalam kira-kira 2.4 meter yang dipenuhi air akibat hujan pada Jumaat.

Komander Operasi Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Fauzi Md Nor berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan sekitar jam 12.20 tengah hari Jumaat.

"Lapan anggota bersama satu jentera fire rescue tender (FRT), Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan bot fiber bergegas ke lokasi kejadian.

“Seorang lelaki warga emas dipercayai hilang selepas terjatuh ke dalam longkang pada petang Khamis dan hari ini (Jumaat) pihak polis telah meminta bantuan pihak bomba setelah mendapat rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran.

“PKO kemudiannya bertindak membuat operasi pencarian di sepanjang longkang tersebut yang berhubung dengan Sungai Mengkibol dan pada jam 3.30 petang," katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Fauzi berkata, pencarian dilakukan di permukaan sungai dengan bot fiber sejauh tiga kilometer daripada longkang berkenaan.

“Operasi ini turut melibatkan lapan anggota polis serta lima anggota Angkatan Perkhidmatan Awam (APM), bagaimanapun lelaki warga emas berkenaan masih belum ditemui," ujarnya

Difahamkan, operasi mencari masih diteruskan ketika ini di lokasi terbabit.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!