Jenazah tiga beranak maut nahas di Lipis dikebumi satu liang lahad
KOTA BHARU - Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 17, Jalan Lipis-Benta selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pintu Gerbang di sini, petang Jumaat.
Jenazah Allahyarham Nor Faizah Ridzuan, 34, dan anak kandungnya, Muhammad Hariz Adrian Mohd Azman, 10, serta anak angkat, Muhammad Hafiy Azman Abdullah, 3, dikebumikan kira-kira jam 6.50 petang.
Kenderaan yang membawa jenazah dari Hospital Kuala Lipis tiba di rumah keluarga kira-kira jam 6.10 sebelum dibawa ke masjid Kampung Teluk Kemunting untuk disembahyangkan.
Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang, Datuk Hassan Mohamood.
Media sebelum ini melaporkan perjalanan tiga beranak dari Petaling Jaya, Selangor pulang ke Kelantan bertukar tragedi selepas ketiga-tiganya maut apabila kenderaan dinaiki mereka dirempuh treler dalam kemalangan, awal pagi Jumaat.
Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, jiran yang juga saudara terdekat mangsa, Nurul akmar Abdullah, 31, terkejut menerima berita pemergian Nor Faizah kerana baru menerima mesej melalui WhatsApp pada jam 10.42 pagi.
Katanya, dalam WhatsApp terakhir itu, Allahyarham menyatakan hasrat untuk mencari kerja di Kuala Lumpur.
"Arwah juga sempat berseloroh mengenai jawatan kosong sebagai pemandu. Dia seorang yang pendiam tetapi mesra dengan saudara-mara," katanya.
@sinarharianonline Replying to @zullot78 Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 17, Jalan Lipis-Benta selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pintu Gerbang Kota Bharu, Kelantan petang Jumaat. Jenazah Allahyarham Nor Faizah Ridzuan, 34, dan anak kandungnya, Muhammad Hariz Adrian Mohd Azman, 10, serta anak angkat, Muhammad Hafiy Azman Abdullah, 3, dikebumikan kira-kira jam 6.50 petang. #fyp#SinarHarian#KemalanganMaut#Lipis#TigaBeranak#Polis Rapuh_ - Zali
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!