Bekas guru abdikan diri dengan melukis
SHAH ALAM - Minatnya yang mendalam dalam dunia lukisan sejak berabad lalu telah menjadi pemangkin buat seorang bekas guru dari Tapah, Perak untuk terus mengabdikan dirinya dalam bidang berkenaan.
Biarpun pendapatan yang diraih menerusi jualan lukisan tidak menjanjikan pulangan lumayan, namun Ismail Ahmad, 62, terus komited dalam menghasilkan karya-karya seninya yang tersendiri.
Setiap lukisan dihasilkannya itu bukan sahaja berdasarkan permintaan pelanggan namun kebanyakan daripadanya juga merupakan cetusan ilham sendiri bagi memastikan kualiti buat setiap karya miliknya.
Menurut Ismail, dia mula terlibat secara serius dalam bidang lukisan sewaktu melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Seni Lukis pada tahun 1982 dalam bidang Diploma Perguruan Seni Lukis.
Bertitik tolak dari situ, dia mendalami beberapa teknik lukisan bagi memantapkan lagi karya dihasilkannya membabitkan kemahiran seperti muralist, painter, batik maker dan canvas maker.
“Selepas tamat pengajian, saya mula mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, Kuala Lumpur, pada tahun 1982 dalam bidang seni.
“Sekolah terakhir saya berkhidmat adalah di Sekolah Kebangsaan Cochrane, Kuala Lumpur pada tahun 2018 dan bersara sebagai Penolong Kanan Kokurikulum di sana,” katanya.
Menceritakan lebih lanjut, Ismail berkata, dia juga pernah menyertai beberapa pameran lukisan sebelum ini antaranya seperti Pameran Hari Guru (2016-2018) di Balai Seni Negara dan Pameran Lukisan (2017-2018) di Galeri Shah Alam.
Malah, Ismail memberitahu, dia juga kerap menerima upah bagi menghasilkan lukisan mural di dinding-dinding kosong untuk diindahkan mengikut permintaan pelanggan.
“Selepas bersara, saya lebih aktif dalam dunia lukisan dan turut menjadikan bidang ini sebagai pendapatan sampingan,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail berkata, dia juga terlibat dalam beberapa badan bukan kerajaan (NGO) antaranya seperti Angkatan Pelukis Malaysia dan Persatuan Seni Rupa Malaysia.
Ismail juga terlibat secara aktif dalam bidang itu dengan menjadi jurulatih Canting Batik Kebangsaan dan pemeriksa subjek Seni Lukis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga kini.
“Saya juga pernah menjadi pemeriksa SPM bagi subjek Seni Visual Kertas 2 bermula tahun 1988 sehingga 2017,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!