Imbasan 2019: Berita sukan
19 FEBRUARI 2019 - Nicol buat keputusan 'gantung raket'
RATU skuasy negara, Datuk Nicol David menjawab teka-teki berhubung kariernya apabila mengesahkan akan 'menggantung raket' sebaik sahaja Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) berakhir pada Jun 2019.
Pengumuman itu dibuat sebelum Nicol rekod sebagai pemain nombor satu dunia selama 109 bulan bermula 2006 hingga 2015 menyertai Kejuaraan Dunia di Chicago, Amerika Syarikat bermula 23 hingga 2 Mac lalu.
Selepas lebih 20 tahun mengerah keringat dan kudrat untuk negara, pemain kelahiran Pulau Pinang berusia 35 tahun itu mengakhiri kerjayanya dengan merekodkan sebanyak 81 gelaran PSA daripada 102 aksi final yang diharunginya.
13 JUN 2019 - Chong Wei umum bersara
SELEPAS 19 tahun berbakti kepada arena badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraannya pada usia 37 tahun atas faktor kesihatan.
Dalam satu sidang media khas yang diadakan di pejabat Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya, Chong Wei memberitahu, keputusan itu diambil selepas berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.
Menurut bekas pemain nombor satu dunia itu, ia adalah keputusan paling sukar pernah dibuatnya selepas berfikir panjang termasuk mendapatkan pandangan isterinya, Datin Wong Mew Choo.
Spekulasi tentang masa depan Chong Wei mula hangat diperkatakan selepas dia disahkan menghidap kanser hidung peringkat awal sehingga terpaksa menjalani rawatan di Taiwan.
Digelar Raja Super Series, antara pencapaian besar pemain kelahiran Pulau Pinang itu adalah meraih tiga pingat perak pada temasya Sukan Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.
27 JUN 2019 - JDT dalam kelas tersendiri
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila melakar sejarah baharu bola sepak tanah air sebagai satu-satunya pasukan yang memenangi gelaran Liga Super enam kali berturut-turut.
Lebih manis, JDT mengakhiri saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini dengan kejayaan menjuarai Piala Malaysia selepas skuad Harimau Selatan itu terlebih dulu membuka tirai 2019 dengan merangkul Piala Sumbangsih.
Tiga kejuaraan yang diraih musim ini juga menyaksikan barisan pemain JDT mendominasi Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 2019 dengan Safawi Rasid gah mengekalkan gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP).
Pada ABK 2019, Safawi turut dijulang sebagai Penyerang Terbaik dan Pemain Paling Popular.
14 SEPTEMBER 2019 - Hamidin dipilih terajui MFL ganti TMJ
TAMPUK kepimpinan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bertukar tangan apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dipilih menerajui badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu.
Pemilihan Hamidin dibuat selepas pemegang taruh MFL bersetuju meminda perlembagaan dengan jawatan pengerusi ditukar kepada presiden selain calon menyandang kerusi tertinggi adalah dalam kalangan ahli lembaga pengarah serta tidak terikat dengan mana-mana pasukan atau kelab tempatan.
Hamidin dipilih bagi menggantikan tempat pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
6 OKTOBER 2019 - Farah Ann sambar tiket Olimpik 2020
RATU gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi merealisasikan impiannya sejak kecil apabila berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.
Biarpun menduduki tempat ke-59 dalam saingan kelayakan acara individu keseluruhan pada Kejohanan Gimnastik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman, ia sudah cukup buat Farah Ann menyambar tiket Olimpik 2020.
Kejayaan gimnas berusia 25 tahun itujuga sekali gus mengakhiri kemarau selama 16 tahun buat skuad gimnastik artistik negara beraksi di pentas Sukan Olimpik.
8 OKTOBER 2019 - Hafizh Syahrin kembali gegar Moto2
SELEPAS dua musim menggegar litar MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah bakal kembali bersaing dalam kelas Moto2 pada Kejuaraan Dunia 2020 bersama pasukan Angel Nieto.
Dalam penampilan sulungnya di pentas MotoGP musim lalu, Hafizh Syahrin yang mewakili pasukan Monster Yamaha Tech 3 mengakhiri saingan di tangga ke-16 keseluruhan selepas mengumpul 46 mata.
Bagaimanapun, prestasi pelumba berusia 25 tahun itu agak menurun apabila menggalas cabaran bersama Red Bull KTM Tech 3 yang menyaksikan dia sekadar mengutip sembilan mata.
19 DISEMBER 2019 - Harimau Malaya tutup tirai 2019 di tangga ke-154 dunia
SEPERTI diramal, skuad Harimau Malaya kekal menghuni tangga ke-154 dunia dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Berdasarkan kemaskini ranking terbaharu yang dikeluarkan FIFA bagi bulan Disember 2019, kedudukan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu tidak berubah selepas mereka merekodkan keseluruhan sebanyak 1,040 mata berbanding 1,009 mata bagi bulan Oktober 2019.
Kutipan mata itu disumbangkan menerusi tiga kemenangan berturut turut yang dilakar Harimau Malaya apabila menumbangkan Tajikistan 1-0 pada aksi persahabatan selain dua kemenangan ke atas dua jiran tetangga Thailand (2-1) dan Indonesia (2-0).
Kemenangan berharga ke atas Thailand dan Indonesia itu ternyata menyumbangkan mata yang tinggi memandangkan ia membabitkan perlawanan dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!