Dua rakan maut tersepit dalam kereta
KEPALA BATAS - Dua rakan maut apabila kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Sungai Lokan, di sini kira-kira jam 2 pagi Sabtu.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas, Pegawai Bomba Kanan II Nazril Syazwan Khalil berkata, kedua-dua mangsa yang parah meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, mangsa dikenali sebagai Muhammed Ahsan Mohamed Ayub, 32 dan Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi, 31.
"Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 2.41 pagi berhubung satu kemalangan di lokasi tersebut. Ketika tiba di lokasi, kita mendapati sebuah kereta Perodua Myvi telah terjatuh dari tebing di tepi jalan.
"Terdapat dua mangsa berada di dalam kenderaan tersebut. Pemeriksaan mendapati kedua-duanya telah meninggal dunia kerana cedera di beberapa bahagian badan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat pelanggaran antara Perodua Myvi dengan kereta BMW.
"Pemandu BMW yang berusia 46 tahun bagaimanapun selamat dan tidak cedera. Dia berjaya keluar sendiri daripada kenderaannya sebelum bomba tiba manakala dua mangsa lagi tersepit.
"Kedua-dua mayat mangsa diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada jam 4.04 pagi," tambahnya lagi.
Beliau berkata, kes diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang wanita cedera selepas kereta Toyota Rush dipandunya hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik.
Pegawai Operasi BBP Bukit Mertajam, PBK I Abu Bakar Hassan berkata, kejadian berlaku di Jalan Sungai Lembu, Pagar Teras, Bukit Mertajam.
Menurutnya, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 24 tahun cedera dalam kejadian pada jam kira-kira 9.20 malam, Jumaat.
"Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 9.29 malam lalu bergegas ke lokasi kejadian.
"Ketika tiba di lokasi, kita mendapati sebuah kereta telah hilang kawalan lalu melanggar tiang elektrik menyebabkan mangsa tersepit di bahagian pemandu," katanya.
Beliau menambah, mangsa berjaya dibawa keluar dan diserahkan kepada pihak hospital untuk dibawa ke Hospital Bukit Mertajam.
Operasi tamat pada jam 9.45 malam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!