Sempat minta tolong sebelum hilang di tengah laut

Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi pada Jumaat.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan di Pantai Tanjung Rhu, Langkawi pada Jumaat.
A
A
A

LANGKAWI - [DIKEMAS KINI] Seorang pekerja kedai emas yang dikhuatiri lemas sempat meminta pertolongan sebelum dilaporkan hilang ketika riadah di Pantai Tanjung Rhu, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, pihaknya menerima maklumat lebih kurang jam 6.16 petang melalui MERS 999 daripada orang awam mengatakan ternampak kelibat orang terkapai-kapai meminta tolong di tengah laut berhampiran hujung pantai itu.

"Mangsa dikenali sebagai Mohammad Khairie Shaari dari Bandar Baru Darulaman Jitra kemudiannya tenggelam dan tidak lagi kelihatan.

"Melalui pemeriksaan awal, polis mendapati terdapat sebuah kereta jenis Proton Satria tidak bertuan yang tidak berkunci dan terdapat barang peribadi, kunci kereta dan Mykad dipercayai milik mangsa," katanya pada Sabtu.

Sehubungan itu, Shariman berkata, operasi mencari dan menyelamat digerakkan melibatkan 40 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Malaysia (APM).

Beliau memaklumkan, operasi ditangguhkan pada jam 10 malam dan disambung semula pada pagi Sabtu.

Dalam perkembangan sama, katanya, keluarga Mohamad Khairie yang dihubungi mengesahkan Mohamad Khairie baru mula bekerja di Langkawi dan menggunakan kereta Proton Satria milik kakaknya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!