Banjir di Terengganu makin buruk, 1,182 mangsa pindah
KUALA TERENGGANU - Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat apabila seramai 1,182 mangsa daripada 229 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di negeri ini.
Sehingga jam 8 pagi ini, mangsa telah dipindahkan ke 21 PPS yang telah dibuka di Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman dan Setiu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, Dungun merupakan daerah paling teruk terjejas dengan seramai 551 mangsa daripada 120 keluarga sudah dipindahkan ke sembilan PPS yang telah diaktifkan.
Menurutnya, mangsa banjir di daerah Hulu Terengganu pula kini seramai 433 orang daripada 135 keluarga dan semua mereka ditempatkan di lapan PPS yang diaktifkan di sana.
"Bagi daerah Kemaman, tiga PPS sudah dibuka bagi menempatkan 193 mangsa daripada 43 keluarga yang terjejas banjir, manakala di Setiu pula melibatkan satu keluarga terdiri daripada lima individu sudah dipindahkan ke sebuah PPS," kata kenyataan itu pada Sabtu.
Menurut kenyataan itu, sembilan PPS yang dibuka di Dungun ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tebing Tembah, Balai Raya Kampung Pelandang, Dewan Sivik Paka, SK Kampung Nyior, SK Balai Besar, SK Tok Kah, Dewan Serbaguna Seberang Pintasan, Dewan MSN dan SK Pusat.
Tambah kenyataan tersebut, lapan PPS dibuka di Hulu Terengganu iaitu Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Kampung Gunung Menerong, Kampung Kemat, Kampung Pengkalan Ajal, Kampung Paya Besar, Balai Raya Kampung Durian Kassim, OKB Kampung Batu 23, Kampung Bukit Kolam dan Balai Raya Pasir Tinggi.
"Di Kemaman pula, tiga PPS dibuka iaitu SK Kampung Baru Kerteh, SK Kemasik dan Dewan Orang Ramai Kampung Labohan manakala sebuah PPS dibuka di Setiu Kampung Besut, " ujarnya.
Jelas kenyataan itu, cuaca hujan masih melanda di beberapa tempat di daerah yang terlibat bencana berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!