Kes bunuh: Kontraktor berdepan hukuman mati
SUNGAI PETANI - Seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Majistret 2 Sungai Petani atas kesalahan membunuh seorang lelaki di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang penghujung tahun lalu.
Tiada pengakuan direkodkan tertuduh, T Suresh 40, yang didakwa membunuh A Muniandy, 41, pada 28 Disember 2018, jam 10 malam hingga 29 Disember 2018 jam 4.15 pagi bertempat di Jalan Jati 25A taman perumahan berkenaan.
Tertuduh berdepan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Nordiyanasari Omar di hadapan Majistret Arif Mohamad Shariff.
Tertuduh diwakili peguam R S N Rayer.
Mahkamah menetapkan 12 Februari depan sebagai sebutan semula kes.
Dalam kejadian terbabit, mangsa ditemui mati oleh orang awam dalam kereta Nissan Grand Livina berwarna putih kira-kira jam 4 pagi.
Difahamkan, mangsa yang bekerja di Singapura baharu pulang ke Sungai Petani untuk membuat persiapan persekolahan lima anaknya yang memulakan sesi persekolahan tahun 2019.
Mangsa ditemui mati dengan kesan tikaman di beberapa bahagian badan mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!