Pengundi Melayu masih belum kembali kepada Amanah - Mohd Hasbie
KUALA LUMPUR - Parti Amanah Negara (Amanah) mengakui bahawa pengundi Melayu masih belum kembali kepada parti itu.
Ketua Pemudanya, Mohd Hasbie Muda berkata, usaha dan kerja kuat perlu dilakukan Amanah bagi memikat kembali undi kaum majoriti di negara ini.
“Negeri-negeri majoriti Melayu yang kini dikuasai Pas mesti segera menjadi tumpuan Kerajaan Perpaduan.
“Masyarakat luar bandar termasuk Felda juga perlu terus aktif disantuni 52 Parlimen dan 92 DUN. Oleh itu, Pemuda Amanah di kawasan itu perlu cakna masalah warga Felda,” katanya ketika menyampaikan pidato bersempena Konvensyen Pemuda Amanah Nasional di salah sebuah pusat acara di Bangsar, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau meminta ahli parti untuk memikat pengundi muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) nanti.
Katanya, undi anak muda bakal menjadi penentu kepada kemenangan mana-mana parti pada pilihan raya umum berkenaan.
“Pengundi muda kini menjadi ‘kingmaker’ dalam pilihan raya akan datang di negara ini.
“Mana-mana parti atau gabungan parti yang bercita-cita membentuk kerajaan seterusnya mesti mampu menangkap imaginasi dan naratif 58 peratus pengundi di bawah umur 40 tahun,” katanya.
Tambahnya lagi, Kerajaan Perpaduan mestilah dilihat sebagai sebuah kerajaan yang benar-benar mendengar suara anak muda, memahami dan bersedia menyelesaikan masalah mereka serta bersedia mengiktiraf peranan anak muda dalam negara ini.
“Penglibatan Pemuda Amanah harus ditonjolkan dengan lebih ketara terutama di kerusi-kerusi yang ditandingi parti kita.
“Dengan kemampuan jentera pemuda yang ditingkatkan, Pemuda Amanah mampu meyakinkan kepimpinan untuk memberi kepercayaan kepada pemuda bertanding lebih banyak kerusi dalam PRU16,” katanya.
Katanya lagi, PRU16 adalah pilihan raya yang akan menentukan kemandirian parti itu.
“Walaupun kita masih punyai masa yang panjang untuk membuat persediaan, pertempuran kali ini amat mustahak dalam menentukan kelangsungan parti kita,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!