Saji bufet atas 'Perahu Tembeling'
JERANTUT - Seorang pengusaha restoran di Taman Negara Kuala Tahan di sini menawarkan kelainan buat pengunjung dengan menyediakan bufet makanan atas 'Perahu Tembeling' di tepi sungai.
Kelainan tersebut ditawar pengusaha Restoran Tahan Corner, Jamarizan Basri, 46 , sejak 2019 dengan menu popular khususnya ikan patin masak tempoyak, ayam masak merah, telur dadar bersama buah-buahan serta ulam-ulaman di atas perahu sepanjang kira-kira tujuh meter.
Menurutnya, setiap seorang dikenakan bayaran RM30 dan penambahan menu dibuat atas permintaan pelanggan dengan harga berbeza.
"Saya menawarkan bufet ini untuk memberikan keselesaan pengunjung selain menikmati sajian di restoran terapung berdekatan pintu masuk taman ini.
"Kebiasaannya pengunjung memilih pakej berkelah sambil menikmati makanan atas perahu di beberapa lokasi Sungai Tembeling dan Sungai Tahan yang cetek di bawah teduhan pokok hutan tropika," kata beliau yang telah mengusahakan restoran itu sejak 20 tahun lalu.
Ujar beliau, setakat ini, bufet tersebut mendapat sambutan menggalakkan dan kebanyakan pelanggan sangat teruja dengan konsep unik berkenaan.
Jelas Jamarizan, majoriti pelawat domestik secara berkumpulan atau keluarga lebih gemar dengan aktiviti berkelah menikmati keindahan alam semula jadi sambil menjamu selera di tepi sungai atau dalam air.
"Saya menyediakan pakej bufet Perahu Tembeling sekiranya permintaan melebihi 20 pengunjung.
"Buat masa ini, bufet Perahu Tembeling tepi sungai terpaksa dihentikan buat sementara waktu kerana pasir sudah tenggelam akibat air besar dan dibuat di atas restoran," jelas Jamarizan.
Tambah beliau, konsep itu dapat dijadikan salah satu tarikan pengunjung ke Taman Negara serta dapat memperkenalkan dan mengekalkan warisan penduduk Melayu dahulu yang berperahu berkelah serta menjamu selera di tepi sungai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!