'Beri ruang polis siasat, ketahui kejadian sebenar' - Bekas KPN
SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengingatkan kepada masyarakat untuk memberi ruang kepada pihak polis menyiasat kes kemalangan maut membabitkan seorang pegawai kanan polis serta pelajar sekolah di Ipoh, Perak.
Menurutnya, ini penting bagi mengetahui cerita sebenar kejadian yang berlaku.
"Biar polis siasat dulu untuk tentukan semuanya apa yang berlaku.
"Saya yakin pihak polis akan menyiasat kes ini. Polis tidak akan sorok 'bawah karpet' kes ini kerana siasatan juga memerlukan saksi kejadian untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Musa juga menasihatkan kepada semua pengguna jalan raya untuk patuh peraturan yang ditetapkan.
Katanya, jangan membuat sebarang perkara atau provokasi yang boleh mengundang insiden sedemikian.
Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari Jumaat, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati maut selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang oleh sebuah kereta dipandu pegawai kanan polis berusia 44 tahun.
Difahamkan sebelum kejadian, berlaku keadaan tidak puas hati membabitkan pemandu kereta berkenaan dengan mangsa kerana membuat bising motosikal.
Keadaan itu mengakibatkan, pemandu tersebut mengejar mangsa sejauh hampir satu kilometer dan melanggarnya dari arah belakang mengakibatkan mangsa jatuh dan terseret hampir lima meter.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!