Januari penentu nasib Amin

Muhamad Amin diberikan kepercayaan membimbing Young Tigers pada kempen Piala Dunia kali ini.
Muhamad Amin diberikan kepercayaan membimbing Young Tigers pada kempen Piala Dunia kali ini.
A
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) dijangka memutuskan masa depan pengendali skuad remaja lelaki negara, Muhamad Amin Rahim selewat-lewatnya pada Januari depan.

Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, keputusan mengenai nasib bekas pemain kebangsaan itu hanya akan diputuskan selepas mesyuarat Ahli Lembaga Eksekutif KHM nanti.

"Pengerusi Kejurulatihan dan Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan akan berbincang terlebih dahulu sebelum dibawa kepada Ahli Majlis (Eksekutif KHM).

"Buat masa ini belum ada apa-apa keputusan lagi. Saya memberikan kebebasan kepada mereka untuk berbincang dan cadangkan siapa jurulatih yang mereka mahukan.

"Sama ada jurulatih kekal atau adanya jurulatih baharu, saya tidak tahu. Saya akan mendengar cadangan daripada Pengerusi Kejurulatihan dan Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan.

"Apapun keputusan harus dibuat paling cepat Januari ini selepas mesyuarat Ahli Majlis (Eksekutif KHM)," katanya dalam sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Dalam sidang akhbar pada Jumaat, Muhammad Amin berkata, beliau menyerahkan nasibnya kepada KHM selepas skuad bimbingannya gagal melepasi peringkat suku akhir Piala Dunia Remaja Lelaki 2023.

Skuad Young Tigers menutup misi kali ini di tangga ke-12 bagi menyamai pencapaian edisi 2001 di Hobart, Australia serta 2009 ketika Malaysia menjadi hos bersama di Johor Bahru dan Singapura.

Artikel Berkaitan:

"Memang saya kecewa... sekurang-kurangnya masuk suku akhir. Tetapi saya harus akui bahawa pasukan ini memang ada masa depan yang cerah.

"Ini kerana sembilan pemain yang ada dalam pasukan remaja negara sekarang masih boleh bermain pada Piala Dunia akan datang... iaitu dua tahun lagi.

"Jadi pemain-pemain ini sudah ada pengalaman. Kita ada masa kira-kira dua tahun untuk membuat persiapan, harap mereka akan beraksi lebih baik pada Piala Dunia akan datang," ujar Subahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!