Unit dron bantu cari bekas komando hilang
KLUANG - [DIKEMAS KINI] Operasi mencari dan menyelamat bekas komando Grup Gerak Khas (GGK), Ab Manan Keri, 73, yang dilaporkan hilang pada Khamis dipergiatkan dengan bantuan unit dron dari Pasukan Gerakan Udara (PGU).
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, pencarian pada hari kedua turut membabitkan penambahan aset dan anggota.
"Jumlah keanggotaan ditambah daripada 50 kepada 80 orang terdiri daripada Polis Daerah Kluang, Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kluang, Batalion Lima Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam dan sembilan buah bot.
ARTIKEL BERKAITAN:'Ayah hilang selepas hadir majlis santapan, lengkap berpakaian veteran komando'
"Jarak pencarian juga ditambah melibatkan bahagian atas dan hilir tempat kejadian dari Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sejauh kira-kira lapan kilometer," katanya dalam sidang akhbar di Kampung Palembang di sini pada Sabtu.
Menurut Bahrin, pencarian membabitkan tiga sektor iaitu di bahagian kiri dan kanan tebing sungai, bahagian dasar dan selaman dari Simpang Sungai Melantai hingga ke Jambatan kedua Jalen Paloh.
Sementara itu, anak mangsa, Mohamad Shahfullah Ab Manan, 29, berharap bapanya, dapat ditemui dalam apa keadaan sekali pun.
"Saya dan keluarga sentiasa berdoa agar ayah dapat ditemui dalam keadaan selamat.
"Sama-sama kita berdoa agar ayah dapat ditemui dalam keadaan selamat dan amat berterima kasih atas usaha yang dilancarkan oleh pasukan penyelamat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!