'Kita menuntut keadilan sewajarnya buat arwah' - Exco Perak
IPOH - Keadilan sewajarnya harus diberikan terhadap seorang pelajar Tingkatan 5, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang maut akibat dilanggar sebuah kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru dekat sini pada Jumaat.
Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, kejadian yang menimpa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati itu amat mendukacitakan.
"Runtun dan sayu hati saya. Tiada ibu atau bapa yang mahu melihat anak mereka pergi dulu dari diri kita. Apatah lagi berlaku di depan mata.
"Kita menuntut keadilan sewajarnya buat Arwah dan keluarga walau siapa pun yang terlibat. Solidariti untuk keluarga arwah adik Zaharif," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan mangsa, Muhammad Zaharif Affendi yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut di lokasi kejadian.
Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha disyaki dilanggar sebuah kereta Perodua Ativa yang dipandu oleh pegawai kanan polis berusia 44 tahun.
Dalam perkembangan berkaitan, pegawai kanan polis terbabit direman selama tiga hari bermula Sabtu sehingga Isnin depan.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi membenarkan permohonan polis untuk siasatan kes terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!