Kesilapan Israel bunuh tebusan sendiri menyedihkan - Penasihat NSC AS
WASHINGTON - Tindakan Tentera Pertahanan Israel (IDF) yang didakwa membunuh tiga tebusan Israel secara tidak sengaja di Gaza, atas sangkaan mangsa merupakan rakyat Palestin, adalah sesuatu yang tragik dan menyedihkan, kata Jurucakap Majlis Penasihat Keselamatan Amerika Syarikat (AS), John Kirby.
Agensi berita AP melaporkan beliau sebagai berkata, Presiden AS, Joe Biden sudah diberi taklimat tentang kejadian tersebut, dan mereka percaya Israel akan melakukan siasatan forensik untuk melihat punca sebenar kesilapan tersebut.
Ketika ini Kirby berkata, AS berkongsi kesedihan dengan keluarga mangsa terlibat, dan masih terlalu awal untuk membuat rumusan memandangkan maklumat yang diterima agak terhad.
“Ia sesuatu yang meruntun jiwa. Ia tragik. Berita ini datang dari Gaza, tentang bagaimana tebusan ini dibunuh dalam satu serbuan.
“Saya ingin berhati-hati di sini, tidak mahu bercakap terlalu banyak kerana kami tidak mempunyai maklumat jelas bagaimana operasi (serbuan) ini berjalan, dan bagaimana kesilapan tragik ini terjadi tetapi sudah tentu ini bukan hasil yang semua pihak ingin lihat,” katanya lagi.
Israel pada Jumaat mengakui mereka secara tidak sengaja membunuh tiga orang tebusan semasa kempen mereka di Gaza.
Antara lain, rejim Zionis mengakui mereka keliru mengenal pasti tebusan yang dibunuh itu sebagai 'ancaman'.
Susulan insiden tersebut, penduduk Israel membuat demonstrasi dan tunjuk perasaan di Tel Aviv, menuntut agar tiga mayat tersebut dikembalikan, dan mendesak Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu untuk berunding segera bagi pembebasan baki tebusan di Gaza. - Agensi/Awani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!