Pelajar maut, lapan lagi cedera dua MPV bertembung

Keadaan Toyota Avanza yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Dato Mahmud pada awal pagi Sabtu. - Foto PDRM
Keadaan Toyota Avanza yang remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Dato Mahmud pada awal pagi Sabtu. - Foto PDRM
A
A
A

KUANTAN - Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semambu dekat sini, maut manakala lapan lagi cedera dalam nahas membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Dato Mahmud di sini pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kemalangan kira-kira jam 1.45 pagi itu membabitkan MPV jenis Toyota Avanza dan Perodua Alza.

Menurutnya, mangsa, M Haymond Raj,17, yang merupakan penumpang Toyota Avanza disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati, kejadian itu berlaku selepas Toyota Avanza yang dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun dari arah Teluk Chempedak menghala Bandar Kuantan hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum bertembung dengan Perodua Alza dari arah bertentangan.

"Pelanggaran itu menyebabkan Toyota Avanza terbabas ke bahu jalan dan seorang penumpang belakang disahkan meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Wan Mohd Zahari berkata, empat lagi penumpang Toyota Avanza berusia 17 hingga 20 tahun dan pemandu mengalami kecederaan.

"Pemandu Alza yang juga seorang lelaki berusia 19 tahun tidak mengalami kecederaan manakala tiga penumpangnya cedera.

"Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Afzan (HTAA) Kuantan untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, hasil semakan mendapati pemandu Toyota Avanza memiliki satu saman di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Katanya, siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!