Wanita habis pantang terpaksa jalan kaki 500 meter berpindah ke PPS
TANAH MERAH - Seorang wanita yang baharu sahaja habis berpantang 40 hari selepas melahirkan anak ketiga, Hasmawati Mohamed, 41, terpaksa berjalan kaki sejauh 500 meter untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Hasmawati dari Kampung Kuala Kajang di sini, bersama bayinya, Putra Aqil Dayyan Abdullah yang berusia 42 hari berpindah ke Sekolah Menengah Ugama (A) Tarbiah Islamiah Kuala Kajang selepas rumahnya dinaiki air setinggi 0.3 meter Khamis lalu.
Turut berpindah, suaminya, Abdullah Sahar, 38, dan dua anak mereka berusia sembilan dan lima tahun serta ibu mertuanya.
Hasmawati berkata, mereka mengambil keputusan untuk berpindah apabila kawasan rumahnya dinaiki air setinggi 0.3 meter selepas hujan lebat beberapa hari.
"Kami tidak mahu keadaan menjadi lebih sukar berikutan paras air semakin tinggi kerana mempunyai anak kecil manakala saya pula baru habis berpantang," katanya ketika ditemui di PPS itu pada Sabtu.
Menceritakan situasi banjir itu, Hasmawati memberitahu, mereka mula membuat persiapan dan berpindah kira-kira jam 6 petang Khamis.
Hasmawati turut dimaklumkan pada Jumaat paras air di kawasan rumahnya sudah naik setinggi satu meter manakala di dalam rumah pula mencecah 0.3 meter.
"Saya tidak gusar kerana sentiasa bersedia menghadapi situasi itu setiap tahun walaupun banyak perkakas rumah yang mungkin rosak ditenggelami banjir.
"Kawasan kami memang dinaiki air setiap kali musim tengkujuh dan saya juga sudah lali dengan keadaan itu," katanya.
Jelasnya, mereka biasanya akan tinggal di PPS itu antara empat hingga tujuh hari bergantung kepada keadaan cuaca dan hujan.
Sementara itu, Penghulu Mukim Lalang Pepuyu, Zulkornain Ismail berkata, sehingga kini seramai 124 mangsa membabitkan 34 keluarga berlindung di PPS Sekolah Menengah Ugama (A) Tarbiah Islamiah Kuala Kajang.
"PPS ini dibuka pada Khamis selepas hujan berterusan selama beberapa hari dan kebiasaannya mangsa banjir merupakan daripada keluarga sama dari Kampung Kuala Kajang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!