Harimau Selatan 'baham' Harimau Kumbang

Kesebelasan JDT. - Foto FB Johor Southern Tigers
Kesebelasan JDT. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) melengkapkan pencapaian gemilang dalam saingan Liga Super 2023 apabila menumpaskan Penang FC, 8-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.

Kemenangan tersebut sekali gus melengkapkan sambutan ‘Decade Of Dominance’ yang diadakan sejurus tamat perlawanan bagi meraikan kejayaan skuad Harimau Selatan itu mendominasi saingan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut selama sedekad, sejak musim 2014 lalu.

Malah, keraian tersebut turut meraikan kejayaan JDT melakar sejarah selaku kelab bola sepak pertama negara yang menjuarai empat trofi (quadruple) dua musim berturut-turut (double quadruple) melibatkan Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.

Aksi Liga Super petang tadi menyaksikan JDT yang baru sahaja dinobatkan selaku juara Piala Malaysia 2023 bermula garang sebaik wisel permulaan dengan mengasak hebat ke gawang pelawat bagi membuka jaringan.

Usaha mereka berjaya apabila pemain terbaik final Piala Malaysia 2023, Arif Aiman Hanapi membuka jaringan seawal minit ke-5 setelah berjaya melepasi kawalan pertahanan Penang FC sebelum merembat leret menewaskan penjaga gol, Shafiq Afifi Suhaimi.

Gol tersebut dilihat semakin menyemarakkan semangat skuad Harimau Selatan itu untuk terus mengasak ke kubu skuad Harimau Kumbang bagi menambah jaringan dan menyaksikan penyerang import, Bergson da Silva menanduk masuk gol kedua pada minit ke-17.

Bergson kemudiannya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-32 untuk gol ketiga tuan rumah sebelum Akhyar Rashid meledak gol keempat pada minit ke-41.

Minit ke-43 menyaksikan giliran pemain import, Heberty Fernandes pula menjaringkan gol kelima untuk tuan rumah selesa menuju ke bilik persalinan.

Artikel Berkaitan:

Bersambung babak kedua, JDT tidak perlu menunggu lama untuk meledak gol keenam apabila Arif Aiman sekali lagi berjaya melepasi kawalan pertahanan sebelum merembat masuk gol kedua peribadinya pada minit ke-46.

Pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 itu kemudiannya melakar hatrik apabila menjaringkan gol ketujuh pada minit ke-52.

Perlawanan selepas itu jelas didominasi sepenuhnya skuad Harimau Selatan itu dengan menyaksikan beberapa percubaan berbahaya ke gawang pelawat bagi menambah jaringan.

Masa kecederaan menyaksikan JDT menjaringkan gol kelapan menerusi Arif Aiman yang juga merupakan gol keempat peribadinya bagi melengkapkan kemenangan penuh bergaya skuad Harimau Selatan itu.

Kemenangan sekali gus menyaksikan JDT berjaya menamatkan saingan Liga Super 2023 dengan 76 mata hasil 25 kemenangan, seri sekali dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 26 perlawanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!