Jerman juara Piala Dunia Remaja 2023
JERMAN menepati ramalan apabila muncul juara Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki 2023 selepas melakar kemenangan 2-1 ke atas Perancis dalam aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Lebih manis, Jerman yang dibimbing Rein Van Eijk merangkul kejuaraan di bumi Malaysia buat kali keempat selepas turut muncul juara pada edisi 1982 di Kuala Lumpur; 1989 (Ipoh) dan 2009 (Johor Bahru).
Malah, kejayaan malam ini dianggap pengubat duka buat Jerman selepas sekadar muncul naib juara pada edisi 2021 di Bhubaneswar, India apabila tewas 2-4 kepada Argentina di pentas final.
Edisi ke-13 tahun ini turut menobatkan tonggak Jerman, Joshua Onyekwue Nnaji sebagai Penjaga Gol Terbaik, manakala bintang Belgium, Hugo Labouchere meraih anugerah Penjaring Terbanyak dengan sembilan gol.
Dalam aksi final sebentar tadi, Jerman terlebih dahulu ketinggalan apabila Perancis berjaya memperoleh jaringan menerusi gol padang Jules Verrier Jules padang minit ke-17.
Jerman bangkit pada suku ketiga yang menyaksikan Jan Cordes dan Liam Holdermann masing-masing meledak satu gol menerusi gol padang.
Secara keseluruhan, Jerman kini merekodkan tujuh kejuaraan termasuk menjuarai edisi 1985 di Vancouver, Kanada; 1993 (Terrassa, Sepanyol) dan 2013 (New Delhi, India).
Kejayaan merangkul tujuh kejuaraan itu sekali gus menyaksikan Jerman muncul pasukan paling berjaya pada kejohanan Bawah 21 tahun tersebut.
Sebaliknya, Perancis yang berada di pentas akhir buat kali kedua sekali lagi terpaksa akur dengan keampuhan Jerman apabila turut mengalami nasib sama pada edisi 2013 di New Delhi, India.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!