Tanah runtuh: 9 rumah terjejas, empat kenderaan tertimbus
PUCHONG - Penghuni sembilan buah rumah di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/4, di sini diminta berpindah akibat kejadian tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.30 petang.
Menurutnya, terdapat empat kenderaan tertimbus iaitu Honda Jazz, Nissan Skyline, Honda City dan Naza Citra.
"Satu pusat pemindahan sementara telah dibuka iaitu Dewan Serbaguna Laman Puteri 3, Bandar Puteri, Puchong.
"Kejadian tanah runtuh yang berlaku di kawasan perumahan disebabkan hujan lebat yang tidak berhenti sekitar jam 5.45 petang hingga 7.30 petang dan telah berlaku pergerakan tanah," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Katanya, pemantauan di lokasi kejadian dilaksanakan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysian (APM), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
"Buat masa ini kesemua sembilan rumah telah dikosongkan atas faktor keselamatan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!