Pochettino gembira Chelsea bangkit
MAURICIO Pochettino menyifatkan kemenangan 2-0 ke atas Sheffield United menunjukkan respon baik daripada Chelsea selepas kekalahan berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL).
Selepas tewas kepada Manchester United dan Everton, Chelsea menutup mulut pengkritik dengan kejayaan ke atas Sheffield itu di Stamford Bridge.
Chelsea bergelut ketika menentang kelab tercorot EPL itu, tetapi gol separuh masa kedua daripada Cole Palmer dan Nicolas Jackson mengesahkan kemenangan yang amat diperlukan.
"Saya rasa kami banyak bercakap sepanjang minggu selepas perlawanan menentang Everton tentang memerlukan perubahan drastik.
"Adalah penting untuk mengesahkan bahawa kami berada pada landasan yang baik. Pada separuh masa pertama kami kecewa kerana tidak dapat mencari jalan melepasi pertahanan Sheffield United," katanya.
Gol pertama Chelsea pada minit ke-54 berjaya digarap dengan baik antara Palmer dan Raheem Sterling dengan hantaran silang rendahnya disempurnakan baik oleh bekas penyerang Manchester City itu.
Giliran Palmer pula mencipta bantuan gol tujuh minit kemudian yang disudahkan Jackson untuk mengesahkan kemenangan The Blues.
“Kami tidak menunjukkan kapasiti untuk menjadi fleksibel dan mudah untuk mereka mengenal pasti kedudukan, menyekat serta membuatkan kami meletakkan bola pada posisi yang mudah untuk mereka hentikan.
"Separuh masa kedua kami jauh lebih baik, kami membetulkan keadaan," kata Pochettino.
Sevilla pecat Alonso
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Sevilla memecat pengendali pasukan itu, Diego Alonso pada Sabtu susulan prestasi buruk yang meletakkan mereka di tangga ke-16 dalam saingan La Liga.
Pengendali kelahiran Uruguay itu dipecat selepas kekalahan terbaharu 0-3 di tempat sendiri kepada Getafe.
“Sevilla mengumumkan memecat Diego Alonso,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Alonso gagal membawa Sevilla mencatatkan kemenangan dalam kedua-dua liga utama Sepanyol dan Liga Juara-Juara selepas dilantik pada 10 Oktober lalu.
Sevilla tewas tiga kali dan seri lima kali daripada lapan perlawanan La Liga di bawah Alonso dan menduduki tempat tercorot kumpulan Liga Juara-Juara mereka.
Satu-satunya kemenangan yang diperolehi ketika dibawah kendalian pengendali berusia 48 tahun itu adalah dalam Copa del Rey menentang lawan liga bawahan.
Alonso menggantikan Jose Luis Mendilibar yang mengetuai pasukan itu menjuarai Liga Europa yang ketujuh musim lalu.
Guardiola kecewa persembahan City
Pep Guardiola menyelar persembahan pemainnya selepas membiarkan Crystal Palace bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat juara bertahan itu 2-2 dalam aksi EPL pada Sabtu.
City menguasai permainan selepas Jack Grealish meletakkan mereka di hadapan pada separuh masa pertama dan Rico Lewis menggandakan jaringan selepas rehat.
Bagaimanapun, mereka gagal meneruskan rentak tersebut pada separuh masa kedua di Stadium Etihad apabila jaringan Jean-Philippe Mateta dan penalti Michael Olise memastikan Palace meraih satu mata berharga.
City hanya menang sekali dalam enam perlawanan liga selain seri dengan Chelsea, Liverpool dan Tottenham serta tewas kepada Aston Villa sebelum kemenangan 2-1 Ahad lalu di Luton.
Dalam perlawanan terakhir mereka sebelum menuju ke Arab Saudi untuk Piala Dunia Kelab, keputusan itu meletakkan mereka di tangga keempat carta tiga mata di belakang pendahulu Liverpool.
“Perlawanan menentang Spurs, Liverpool, hari ini, sangat baik, tetapi kami tidak dapat memenangi perlawanan itu. Apa yang berlaku adalah kerana kami tidak cukup konsisten untuk menutup perlawanan dan dipengaruhi banyak sebab.
“Dalam kotak 18 ela anda perlu berhati-hati dan kami tidak. Kami tidak layak untuk menang hari ini," katanya.
Usaha City untuk kejuaraan keempat berturut-turut yang belum pernah berlaku sebelum ini tampak sukar walaupun pasukan itu pernah bangkit dari ketinggalan lapan mata di belakang Arsenal untuk merampas kejuaraan itu musim lalu.
City akan menentang pasukan Jepun Urawa Red Diamonds dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia Kelab pada Selasa dan perlawanan akhir akan berlangsung pada hari Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!