Hanya tekanan tentera akan bebaskan tawanan - Netanyahu
TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk meneruskan pertempuran sengit di Gaza selepas tenteranya sendiri membunuh tiga tawanan mereka.
“Hanya tekanan tentera akan membawa kepada pembebasan tebusan.
"Hati saya terusik selepas tragedi malam tadi,” katanya dalam ucapan pertama selepas Angkatan Pertahanan Israel (IDF) secara tidak sengaja membunuh tebusannya dalam kejadian pada Jumaat lalu.
Kenyataan terbaharu Netanyahu itu dibuat pada Sabtu ketika Kabinet Perang Israel bertemu dengan media Israel melaporkan anggota dijangka membincangkan usaha baharu untuk mengadakan semula rundingan pembebasan tawanan.
Tiada tawanan telah dibebaskan sejak jeda dalam pertempuran berakhir pada hujung November lalu.
Dalam masa sama, Netanyahu berikrar untuk meneruskan perang sehingga kemenangan dicapai.
Kata Netanyahu, Israel "kita berada dalam situasi peperangan untuk meneruskan hidup kita."
"Perang ini perlu diteruskan sehingga kemenangan... walaupun mendapat tekanan antarabangsa."
Netanyahu sahkan hantar pasukan perunding gencatan senjata
Dalam pada itu Netanyahu mengesahkan rundingan baharu yang diusahakan Qatar sedang digerakkan untuk mendapatkan semula tebusan yang ditahan oleh Hamas di Gaza.
Kenyataan itu menyusul selepas sumber berkata, perunding utama Israel sedang bertemu pimpinan Qatar di Eropah bagi berunding pembebasan tebusan dan gencatan senjata baharu.
Memetik laporan Reuters, Netanyahu mengesahkan telah memberi arahan kepada pasukan perunding mengenai usaha berkenaan.
Ujar Netanyahu, terdapat kritikan peribadi Israel terhadap Qatar, tetapi tumpuan utama negara haram itu kini adalah untuk membebaskan lebih ramai tebusan di Gaza.
Dalam pada itu, Netanyahu tidak memberi sebarang butiran terperinci berkenaan proses rundingan tersebut.
Dua sumber keselamatan Mesir berkata, pasukan perunding Israel kini lebih bersedia sewaktu proses rundingan terbaharu bersama pengantara, untuk mencapai perjanjian baru bagi gencatan senjata Gaza dan pembebasan tahanan Palestin sebagai pertukaran untuk pembebasan tebusan.
Kata sumber itu lagi, pasukan perunding Israel seakan-akan telah mengubah fikiran mereka mengenai beberapa perkara yang mereka tolak sebelum ini, tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut.
Qatar dan Mesir adalah pengantara antara Israel dan Hamas dalam perjanjian yang membawa kepada gencatan senjata selama seminggu pada akhir November.
Hamas membebaskan lebih daripada 100 wanita, kanak-kanak, dan warga asing yang dipegangnya sebagai pertukaran untuk 240 wanita dan remaja Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!