Dua pendaki sesat di Gunung Panti ditemui selamat
KOTA TINGGI - Dua sahabat yang dilaporkan sesat selepas terkeluar dari trek pendakian di Gunung Panti di sini pada petang Sabtu ditemukan dalam keadaan selamat pada jam 10.20 malam.
Pengarah Perhutanan Johor, Datuk Salim Aman berkata, pendaki wanita dan lelaki berusia lingkungan 20-an itu dilaporkan hilang pada jam 6.50 petang.
Katanya, mangsa bertindak meminta bantuan melalui telefon selepas menyedari tersesat ketika dalam perjalanan turun dari gunung tersebut
"SAR (operasi mencari dan menyelamat) mangsa dilaksanakan bermula jam 7.40 malam bagi mengesan mangsa di kawasan berkenaan.
"Seramai 25 anggota pasukan SAR terdiri daripada Jabatan Perhutanan Negeri Johor, anggota polis dari Balai Polis Batu Ampat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Tinggi serta Malim Gunung Perhutanan (MGP).
"Mangsa berjaya ditemui pada jam 10.20 malam di dalam Hutan Simpan Panti sebelum kedua-duanya dibawa keluar menggunakan kenderaan polis dan terus ke balai polis bagi rakaman percakapan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, mangsa didapati sihat tanpa sebarang kenderaan yang serius dan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas rakaman percakapan diambil.
Katanya, mangsa didapati tidak mempunyai permit memasuki hutan simpan serta tanpa kawalan jurupandu atau MGP.
"Jabatan Perhutanan Negeri Johor pada 28 November lalu mengumumkan penutupan trek pendakian Gunung Panti bermula 1 Disember tahun ini.
"Jabatan akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1995 Negeri Johor kerana memasuki hutan simpanan kekal tanpa permit," katanya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai yang berhasrat untuk masuk hutan atau mendaki, supaya mematuhi larangan penutupan trek pendakian di musim tengkujuh atas faktor keselamatan diri dan ketenteraman awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!