'PN jangan tiru cara PM Fiji' - Puad Zarkashi

Tangkap layar hantaran Mohd Puad di Facebook pada Ahad.
Tangkap layar hantaran Mohd Puad di Facebook pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) diingatkan supaya tidak memainkan isu 'kaum bukan Melayu boleh dilantik menjadi Perdana Menteri' dan meniru cara coup d'etat oleh pemimpin Fiji, Jeneral Sitiveni Rabuka.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, tiada keperluan melakukan coup d'etat dibuat Perdana Menteri Fiji itu atau melakukan pindaan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Malah menurutnya, orang Melayu tetap akan menjadi Perdana Menteri biarpun negara sudah mencapai kemerdekaan yang ke-66 tahun.

“Mahendran Choudary etnik minoriti India pernah jadi Perdana Menteri Fiji dan partinya menang pilihan raya. Jeneral Rabuka buat coup d'etat agar etnik Fiji dapat balik jawatan tersebut.

“Tidak perlu cara paksa, kita tidak perlu meniru Fiji. Apakah politik tidak bijaksana ini mahu dicontohi?,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, tokoh veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang membangkitkan isu kontroversi itu sehingga menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang awam terutamanya kaum Melayu dan golongan ahli politik.

Mohd Puad menambah, rahsia utama kaum Melayu kekal dipilih sebagai Perdana Menteri di negara ini adalah kerana kematangan, kebijaksanaan dan kepimpinannya.

Ujarnya, selagi pemimpin tersebut bersikap adil, inklusif, matang dan bijaksana, maka kaum lain akan terus memberi kepercayaan kepada orang Melayu untuk memegang jawatan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya kepimpinan Melayu disokong oleh golongan tidak matang atau bijaksana, maka bukan Melayu tidak perlu tunggu 100 tahun lagi.

“Tidak perlulah PN mainkan isu ini untuk raih sokongan orang Melayu.

"Lupakanlah kaedah ‘tebuk atap’ atau ‘langkah’, itu pun jenis coup d'etat juga,” ulas beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!