102 saman trafik, 19 motosikal disita

Sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis melaksanakan operasi di sini, pada Sabtu.
Sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis melaksanakan operasi di sini, pada Sabtu.
A
A
A

AMPANG - Polis menyita 19 motosikal dan mengeluarkan 102 saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi di Jalan Tasik Permai dan di laluan lorong motosikal Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya melaksanakan operasi itu bermula 9.30 malam hingga 12.30 tengah malam.

"Saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di antaranya kesalahan nombor pendaftaran, ubah suai struktur kenderaan seperti ekzos, tidak patuh pada tunjuk arah, brek tidak berfungsi dengan baik dan kesalahan-kesalahan lain," katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Mohd Azam berkata, operasi itu bertujuan bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan lalu-lintas terutamanya motosikal ditunggang warga asing.

"Selain itu, operasi juga menumpukan perhatian kepada golongan remaja yang sering dilihat melakukan pengubahsuaian pada struktur kenderaan," katanya.

Mohd Azam berkata, selain itu, sebanyak 19 motosikal ditahan dan dibawa balik ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Ampang Jaya untuk proses dokumentasi dan panggil pemilik.

"Kesemua kenderaan itu disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama," katanya.

Beliau berkata, pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang pengubahsuaian pada mana-mana struktur asal kenderaan yang boleh menjadi punca kepada berlakunya kemalangan.

Artikel Berkaitan:

"Jadilah pengguna jalan raya yang patuh pada undang-undang. Utamakan keselamatan dan sayangi nyawa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!