Arak bebas cukai di Pulau Pangkor: MB Perak digesa beri penjelasan

Pangkor sebagai pulau bebas cukai mencetuskan kontroversi apabila arak dan rokok dikatakan menjadi antara item bebas cukai di pusat pelancongan itu.
Pangkor sebagai pulau bebas cukai mencetuskan kontroversi apabila arak dan rokok dikatakan menjadi antara item bebas cukai di pusat pelancongan itu.
A
A
A

IPOH - Pembangkang Perak menuntut penjelasan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sama ada minuman keras dan rokok dikecualikan sebagai barangan bebas cukai di Pulau Pangkor atau sebaliknya.

Ketuanya, Datuk Saarani Mohamad berkata, perkara itu perlu dibuat kerana terdapat percanggahan kenyataan Ahmad Faizal sebelum ini dengan jawapan lisan oleh Kementerian Kewangan di Dewan Negara pada 12 Disember lalu.

Menurutnya, ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sebelum ini, Ahmad Faizal menjelaskan rokok dan minuman keras tidak termasuk dalam barangan bebas cukai di Pangkor, bercanggah dengan jawapan Kementerian Kewangan ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negara, Senator Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid mengesahkan kedua-dua barangan tersebut merupakan barangan bebas cukai.

"Persoalannya siapakah yang berbohong, Menteri Besar Perak atau Kementerian Kewangan dan mengapa terdapat percanggahan ini? Adakah ini cubaan untuk menipu serta mewujudkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

"Percanggahan ini menunjukkan tiada penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri walaupun mereka dari pakatan yang sama. Adakah ini menunjukkan kerajaan Persekutuan membuli Menteri Besar Perak atau (wujud) percanggahan antara parti komponen dalam PH," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Saarani berkata, ketika kerajaan terdahulu mencadangkan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC), rokok dan arak tidak dimasukkan dalam barangan bebas cukai, sekali gus mendapat sokongan majoriti penduduk di pulau tersebut.

Bagaimanapun katanya, kenyataan Kementerian Kewangan di Dewan Negara telah membangkitkan kemarahan serta rasa tidak senang rakyat Perak.

Beliau berkata, hakikatnya percanggahan tersebut menunjukkan terdapat pertentangan prinsip sesama sendiri dalam kerajaan hari ini.

Sebelum ini Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Perak, Tan Kar Hing menjelaskan, pengecualian arak sebagai item bebas cukai masih belum dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Induk Pelaksanaan Pulau Pangkor sebagai PBC.

ARTIKEL BERKAITAN Jual arak bebas cukai di Pulau Pangkor sedang dipertimbang

Penduduk Pulau Pangkor bantah jual arak

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!