Pekan Sehari Temerloh akan diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia

Pekan Sehari Temerloh kini berusia kira-kira 150 tahun. - Foto Ihsan Agrobank
Pekan Sehari Temerloh kini berusia kira-kira 150 tahun. - Foto Ihsan Agrobank
A
A
A

TEMERLOH - Tapak Pekan Sehari Temerloh yang memiliki sejarah tersendiri dan keunikannya akan diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, satu perbincangan telah dilakukan bersama Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Suris Mihat untuk membuat permohonan tersebut.

"Sebab kita tak dapat dah tempat lain, sebab itu kena jaga Pekan Sehari ini, jadi saya minta juga dari segi kebersihan mesti diutamakan.

"Dan dalam masa yang sama walaupun ada peningkatan tetapi warisan harus dikekalkan kerana tradisi itu yang menarik minat orang datang ke Pekan Sehari Temerloh," kata beliau.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita sempena Majlis Pelancaran Cashless Pekan Sehari Temerloh oleh Agrobank di Terminal Bas Lurah Semantan di sini pada Ahad.

Wan Rosdy (tengah) bersama Suris (Kiri) dan Ahmad Badli ketika menyempurnakan pelancaran Cashless Pekan Sehari Temerloh di Terminal Bas Lurah Semantan di Temerloh pada Ahad.
Wan Rosdy (tengah) bersama Suris (Kiri) dan Ahmad Badli ketika menyempurnakan pelancaran Cashless Pekan Sehari Temerloh di Terminal Bas Lurah Semantan di Temerloh pada Ahad.

Sementara itu, Suris memberitahu, pihaknya akan mendapatkan nasihat daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk urusan permohonan membabitkan antaranya dokumen yang diperlukan untuk merealisasikan usaha tersebut.

"Kita akan melakukan proses ini secepatnya seawal suku tahun 2024 bagi memastikan Pekan Sehari Temerloh mendapat pengiktirafan di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)," tambah beliau.

Artikel Berkaitan:

Pekan Sehari sepanjang lebih 2.1 kilometer itu yang kini berusia kira-kira 150 tahun itu menempatkan 607 peniaga setakat ini.

Dua sijil MBOR yang disampaikan wakilnya Mohd Nazrul (dua dari kanan) kepada Suris (kiri) sambil diperhatikan Wan Rosdy (dua dari kiri) dan Ahmad Badli.
Dua sijil MBOR yang disampaikan wakilnya Mohd Nazrul (dua dari kanan) kepada Suris (kiri) sambil diperhatikan Wan Rosdy (dua dari kiri) dan Ahmad Badli.

Terletak di tengah bandar Temerloh, tapak itu juga berjaya menarik kehadiran hingga 7,000 pengunjung sehari dari dalam dan luar Pahang sekali gus menjadi lokasi tarikan pelancongan di negeri ini.

Dan ia juga mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) dengan dua sijil iaitu Pasar Pagi Terpanjang Malaysia dan Bilangan Peniaga Pasar Pagi Terbanyak yang disampaikan wakil MBOR, Mohd Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi kepada Suris dalam majlis sama.

Hadir sama, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussein.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!