RM1,000 untuk mangsa tanah runtuh di Puchong
PUCHONG - Setiap keluarga yang terjejas membabitkan insiden tanah runtuh di Jalan Wawasan 3/9 dan 3/4, Taman Wawasan, di sini pada Sabtu, akan mendapat bantuan sebanyak RM1,000.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, penduduk yang terlibat boleh datang ke pejabat Ahli Parlimen untuk mendapatkan bantuan tersebut bermula jam 10 pagi, Isnin.
Menurut Chen, beliau telah dimaklumkan oleh petugas di pejabatnya berhubung bencana itu sebelum bergegas ke lokasi kejadian untuk berjumpa dengan penduduk-penduduk.
“Ada sembilan keluarga terjejas dan saya telah pergi berjumpa mereka.
"Esok 10 pagi (Isnin) mereka boleh datang ke pejabat Ahli Parlimen untuk ambil bantuan RM1,000 satu keluarga," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada Ahad.
Tambahnya, kerja pembaikan ini mungkin mengambil masa kira-kira dua minggu.
Ujarnya, bantuan tersebut diharapkan dapat meringankan beban penghuni rumah yang terjejas.
Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan seramai 29 penghuni di sembilan buah rumah teres di Taman Wawasan Puchong, diarah berpindah atas faktor keselamatan, susulan kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang itu, empat kenderaan jenis Honda Jazz, Nissan Skyline, Honda City dan Naza Citra telah tertimbus.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan satu pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Dewan Serbaguna Lama Puteri 3, Puchong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!