Kongsi duit beli bot fiber sebelum rumah ditenggelami banjir
SETIU - Seorang peniaga berkongsi duit bersama keluarganya untuk membeli sebuah bot fiber berharga RM1,300 untuk digunakan sebagai pengangkutan selepas rumah mereka dinaiki air.
Syukri Dollah, 60, berkata, penggunaan bot amat penting sepanjang musim tengkujuh ini berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu serta kemungkinan berlaku kenaikan paras air sungai secara mendadak.
"Selagi musim monsun (Monsun Timur Laut) belum habis sepenuhnya kita perlu sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga.
"Sebelum ni saya dah ada bot tetapi rosak. Banjir kali ini terpaksa juga beli baharu. Mujurlah anak saya sempat ke Bandar Permaisuri untuk membeli sebuah bot bagi kegunaan kami," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Sabtu.
Katanya, bot fiber berkenaan dapat melancarkan usaha untuk memindahkan ahli keluarga lebih awal ke tempat selamat selepas rumahnya di Kampung Buluh, di sini dinaiki air pada malam Jumaat.
"Saya bersama anak-anak dan adik yang tinggal berdekatan rumah berkongsi duit untuk membeli bot tersebut bagi memudahkan urusan kami sekeluarga berpindah.
"Dalam keadaan macam ni, bot amat lebih penting untuk digunakan membawa keluar ahli keluarga ke tempat selamat," katanya.
Sementara itu, Mohd syahir syukri, 19 berkata, dia masih trauma dengan banjir besar melanda pada Disember tahun lalu yang menyebabkan mereka sekeluarga kerugian hampir RM10,000 kerana tidak sempat menyelamatkan barangan berharga.
"Tahun lepas air naik mengejut, seluruh rumah ditenggelami air dan kami tidak sempat membuat sebarang persiapan. Tahun ini, kami sekeluarga telah membuat persiapan awal dengan meletakkan barangan elektrik ke tempat lebih tinggi.
"Apabila air mula melimpah ke kawasan rumah, saya dan ahli keluarga terus menyimpan barang-barang berharga di tempat selamat dan mengambil dokumen penting sebelum berpindah ke PPS (Pusat Pemindahan Sementara) berdekatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!