Ibnor Riza meninggal dunia
SHAH ALAM - Penyanyi popular era 80-an, Ibnor Riza dilapor meninggal dunia pada jam 3.30 petang Ahad.
Ibnor Riza atau Ibnor Riza Ibrahim yang terkenal dengan lagu 'Mimpi Yang Tak Sudah' menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Canselor Tuanku Mukriz (HCTM), Kuala Lumpur.
Berita pemergian penyanyi itu dikongsikan rakan artisnya, Datin Salwa Abdul Rahman melalui hantaran di Instagram.
"Sahabatku sudah tiada. Semoga arwah tenang dan damai di sana dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.
Selain itu, beberapa portal media turut memuat naik poster takziah atas pemergian penyanyi tersebut.
Sinar Harian pada 2 Disember lalu melaporkan Ibnor Riza ditidurkan bagi membolehkan pembedahan dilakukan bagi mengeluarkan cecair di kepalanya.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh penyanyi, Nizam Laksamana menerusi perkongsian pada Facebook.
Nizam memberitahu, isteri Ibnor memaklumkan bahawa suaminya menjalani pembedahan pada jam 9 malam pada 2 Disember.
Pada 19 Februari lalu, Ibnor yang turut popular dengan lagu Meneka Dalam Kesamaran dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Port Dickson selepas pengsan di rumah.
Sebelum itu, Ibnor diserang pelbagai jenis penyakit seperti kencing manis, tahap kolesterol tinggi, buasir, darah tinggi dan migrain yang teruk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!