Deretan 'jenazah' di Pantai Teluk Cempedak tanda solidariti isu Palestin
KUANTAN - Lakonan deretan 'jenazah' di pekarangan Pantai Teluk Cempedak adalah sebagai tanda solidariti untuk rakyat di Gaza susulan ketegangan di antara Palestin dan Israel.
Usaha dilakukan sekumpulan aktivis seni dan pengusaha kafe di Kuantan itu untuk menyedarkan orang awam bahawa isu di Palestin adalah isu kemanusiaan.
Penganjur, Ali Adenan berkata, apa yang dilakukan nampak dramatik, namun apa yang berlaku di Gaza itu lebih ganas dan kejam.
"Kami ingin berkongsi dengan masyarakat bahawa Palestin adalah isu kemanusiaan, bukan hanya isu perang antara agama atau pun kepercayaan
"Kami juga percaya segala perkongsian melalui media sosial saja masih belum cukup, ada masanya kita harus keluar dan kongsikan pandangan dan perasaan kita," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Hari ini tular sekeping gambar di laman sosial Facebook yang memaparkan deretan jenazah di Pantai Teluk Cempedak.
Ali memaklumkan Flashmob itu juga bagi memberi mesej bahawa kekejaman di Palestin bukan isu bermusim.
Jelasnya, kematian dan kekejaman itu berlaku setiap hari dan momentum kesedaran itu harus sentiasa ada serta terus meningkat.
"Flashmob yang kita adakan secara aman berjalan lancar. Orang awam turut sertai tanpa rasa takut kerana ia berlangsung tanpa teriakan.
"Hanya dua orang pemuisi sambil peserta melakonkan watak jenazah sebagai solidariti Palestin," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!