92 wartawan terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober
GAZA - Sekurang-kurangnya 92 wartawan terbunuh dalam kempen ketenteraan Israel yang berlanjutan di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober, menurut pejabat media kerajaan di Palestin pada Ahad.
Mangsa terbaharu ialah wartawan Rami Badir dan Assem Kamal Musa yang terbunuh akibat serangan tentera penceroboh Israel sejak dua hari lalu, Agensi Anadolu memetik kenyataan yang dikeluarkan pejabat itu.
Bagaimanapun, pejabat itu tidak mendedahkan butiran lanjut.
"Dengan membunuh wartawan, Israel cuba untuk mengaburi naratif Palestin dan cuba menutup kebenaran tetapi ia gagal mematahkan semangat rakyat Palestin,” menurut pejabat itu.
Israel telah mengebom Semenanjung Gaza dari udara dan darat, melaksanakan kepungan dan melancarkan serangan darat sejak 7 Oktober.
Kementerian Kesihatan Palestin dalam satu kenyataan berkata jumlah korban yang direkodkan di Semenanjung Gaza telah mencecah 18,800 orang. - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!