Plestia Alaqad, suara sebenar penduduk Gaza

Gadis berani ini melalui pelbagai pengalaman mendebarkan sepanjang membuat liputan tentang perang Gaza.
Gadis berani ini melalui pelbagai pengalaman mendebarkan sepanjang membuat liputan tentang perang Gaza.
A
A
A

GENTING GAZA - Ketika fasa awal perang Gaza, nama Plestia Alaqad menjadi sebutan atas keberaniannya membuat liputan tentang serangan ganas Israel malah video menyayat hati dikongsi gadis ini turut menjadi tular.

Plestia tidak berganjak untuk merakamkan detik cemas di kawasan kejiranan di Bandar Gaza walaupun dihujani peluru bertalu-talu.

“Saya cuba memberi gambaran jelas tentang apa yang berlaku di Gaza. Tetapi, anda boleh mendengarkannya sekarang,” katanya menerusi salah sebuah klip merujuk kepada gegak-gempita bunyi serangan rejim Zionis yang meraih lebih 200,000 like.

Kebanyakan pengikut gadis berusia 22 tahun itu juga tertanya-tanya bagaimana dia boleh kekal 'tenang' dan tiada ekspresi wajah ketika berdepan situasi perang di Gaza.

Plestia sentiasa berkongsi tentang situasi di Gaza ketika fasa awal konflik tersebut.
Plestia sentiasa berkongsi tentang situasi di Gaza ketika fasa awal konflik tersebut.

“Itu mungkin salah satu sebab video yang saya kongsikan menjadi tular. Ramai yang bertanya adakah saya biasa atau mengalami trauma kerana berdepan keadaan sedemikian,” ujarnya menerusi aplikasi Zoom.

Usaha Plestia menggunakan Instagram sebagai platform untuk berkongsi tentang keadaan semasa di Gaza turut dipuji banyak pihak.

Sebelum konflik itu tercetus, gadis itu bekerja untuk sebuah agensi pemasaran malah dia sentiasa memuat naik gambar aktiviti hariannya.

Artikel Berkaitan:

Matlamat utama Plestia adalah untuk menjelaskan kepada pengikutnya masih ada perkara gembira di Gaza selain konflik dan kemusnahan seperti sering dipaparkan media.

Perkongsian berani itu menyaksikan jumlah pengikut gadis itu meningkat daripada 4,000 kepada kira-kira 4.5 juta orang malah dia tidak menang tangan untuk membaca mesej dan e-mel yang tidak putus-putus.

Plestia menjadikan Instagram sebagai menjadi platform untuk menyampaikan perkembangan perang Gaza.
Plestia menjadikan Instagram sebagai menjadi platform untuk menyampaikan perkembangan perang Gaza.



“Instagram menjadi diari peribadi untuk saya berhubung dengan orang ramai. Saya mahu tunjukkan nilai kemanusiaan yang ada dalam diri saya dan bukan hanya tugas sebagai wartawan malah saya merasai sendiri pengalaman sebenar berada di zon perang,” jelasnya.

Menurut gadis itu, dia berdepan kesukaran untuk mengecas telefon bimbit yang merupakan satu-satunya gajet dan mendapatkan liputan internet terutamanya selepas bekalan elektrik serta komunikasi terputus beberapa kali.

“Saya tidak mahu orang ramai melihat perang Gaza sekadar bahan berita,” ujarnya lagi.

Tugas mencabar itu mencapai kemuncak ketika ketua kumpulan media Press House-Palestine, Belal Jadallah terkorban dalam serangan udara Israel.

Dia nekad memulangkan semula ves dan topi keledar tertera 'Press' kerana bimbang akan menerima nasib sama seperti Jadallah yang menjadi tokoh inspirasi kepada wartawan Palestin.

Selepas 45 hari sanggup menggadai nyawa untuk membuat liputan tentang kesan kemusnahan di Gaza, Plestia akhirnya meninggalkan Gaza dan menuju ke Melbourne di Australia.

Namun, dia masih mengikuti perkembangan konflik di wilayah terkepung itu yang kini memasuki bulan ketiga dan tiada tanda bakal reda dalam tempoh terdekat.

Pegang peranan penting

Plestia Alaqad dilahirkan pada 2001 dan mendapat pendidikan di American International School of Gaza.

Bermula 2015 hingga 2019, gadis itu mendedikasikan dirinya untuk menyambung pengajian sebagai membuka jalan bagi masa depan lebih cerah.

Dia kemudiannya menjadi penuntut Eastern Mediterranean University (2019-22) kerana minat yang mendalam untuk meneroka dunia komunikasi dan media.

Selepas tamat pengajian, Plestia mula berkongsi 'kisah' tentang Gaza dan menarik minat rangkaian berita utama seperti The Washington Post dan Reuters.

Dia terus menjadi 'suara' penduduk Gaza yang terpinggir dan berkhidmat sebagai Pengurus Sumber Manusia untuk StepUp Agency sejak Mei lalu.

Pada April hingga Ogos, Plestia pernah menyumbangkan kemahirannya sebagai Jurulatih Kelab Media Inggeris untuk The Press House dengan mengendalikan bengkel berkaitan.

Sebelum ini, dia juga memegang dua tanggungjawab sebagai editor berita dan pengurus media sosial dengan menguruskan akaun @palsawa di Instagram.

Dia turut menjadi jurubahasa di Persatuan Budaya dan Pemikiran Bebas pada Jun lalu.

Plestia bukan hanya seorang wartawan penuh empati yang memberi impak mendalam kepada dunia malah naratif gadis itu menunjukkan kuasa penceritaan dari lokasi sebenar. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!