Cukuplah hidangan 'seri muka' di Bukit Jalil

Keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang mendapat kritikan peminat.
Keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil yang mendapat kritikan peminat.
A
A
A

ISU yang menjadi perbualan hangat dalam arena sukan tempatan minggu lalu ialah keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ). Ada yang menyamakannya seperti kuih tradisional pulut sekaya atau seri muka.

Kreatif atau menyindir, segenap lapisan masyarakat bersuara mengenai tompokan rumput hijau berbentuk empat segi di tengah padang seperti seri muka dibelah rapi.

“Kenapa aku tengok padang Bukit Jalil macam kuih seri muka. Barangkali perutku sudah lapar,” catat salah seorang pengguna Facebook, Syaihan Sirotin.

Sampai begitu sekali rumput yang rosak gara-gara konsert kumpulan Coldplay berlangsung di stadium berkenaan pada 22 November lalu.Beribu-ribu mesej rakyat kepada pemegang taruh agar insiden kerosakan padang tidak berulang.

Ibarat pepatah Melayu, takkan pisang berbuah dua kali. Kesalahan yang sama jangan dibuat lagi.

Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) yang menguruskan ‘kandang’ Harimau Malaya itu pasti faham apa yang mahu disampaikan khalayak seperti slogan ‘Ini Rumah Kita, Ini Maruah Kita’. Bukan sahaja di mata rakyat khususnya peminat sukan nombor satu negara, tetapi imej Malaysia di pentas antarabangsa.

Tidak pernah berlaku dalam sejarah era profesional bola sepak negara pemain membuat kerja sambilan meletakkan kembali rumput yang tercabut ketika aksi Malaysia menentang India dalam kejohanan Pestabola Merdeka Oktober lalu. Mujur dalam aksi final kejohanan itu yang menemukan Malaysia dan Tajikistan pada 17 Oktober kerosakan padang pada tahap minimum.

Begitu juga ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara skuad bimbingan Kim Pan-gon menentang Kyrgyzstan bulan lalu keadaan padang melegakan PSM dan peminat.

Artikel Berkaitan:

Namun, insiden padang ‘koyak’ berulang semasa final Piala Malaysia 2023 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC pada 8 Disember lalu.

PSM yang tidak senang duduk akhirnya memohon maaf sambil mengakui tidak mempunyai masa mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan padang ke tahap optimum selepas konsert Coldplay tersebut.

Malah, PSM juga berjanji melakukan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) untuk pengurusan acara pada masa depan.

PSM bakal diuji lagi susulan konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran pada 24 Februari depan di SNBJ. Sudah pasti ia menggusarkan para peminat kerana venue sama menjadi gelanggang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman pada 26 Mac

Tempoh kira-kira sebulan selepas konsert, PSM wajib mempersiapkan ‘seri muka’ berkualiti sedap mata memandang dan nikmat rasanya untuk aksi penting itu yang menjadi tatapan di seluruh dunia.

Buatlah apa yang patut, tapak semaian Zeon Zoysia katanya berdekatan SNBJ dan proses pemulihan segera boleh dilakukan sekiranya rumput itu rosak.

Bagi para peminat cuma satu sahaja yang mereka mahu, kualiti padang pada tahap maksimum. Begitu juga dengan pemain, mereka tidak mahu insiden tiga rakan mereka yang cedera pada aksi final lalu berulang.

Nasi sudah menjadi bubur, ambil iktibar dan pastikan insiden rumput ‘koyak’ tidak menjadi igauan ngeri lagi.

Sebagai langkah jangka panjang, FAM dikhabarkan mahu membina pejabat serta stadium di Putrajaya. Andai ada perkembangan baharu boleh dikongsi buat tatapan umum.

Usaha jangka pendek pula mungkin boleh kembali bertandang ke Stadium Merdeka yang satu ketika dahulu menjadi saksi Malaysia digeruni di pentas antarabangsa.

Stadium bersebelahan Menara 118 itu mungkin boleh dinaik taraf dengan menambah kapasiti tempat duduk yang kini hanya boleh memuatkan 20,000 penonton, selain sistem perparitan dan menggantikan rumput baharu, sekali gus mampu menjadi rumah kedua Harimau Malaya.

*Ahmad Syahir Kassim ialah Wartawan Sukan Sinar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!