Damai menginap di pondok atas pokok
POKOK SENA - Pondok atas pokok dengan suasana kampung yang tenang menjadi tarikan pengunjung di Hamsha Village Kampung Bendang Lanjut, Jalan Naka di sini.
Pemiliknya, Aishah Zakaria, 49, berkata, pondok berharga RM50 semalam itu boleh memuatkan dua orang dewasa dalam satu-satu masa.
Katanya, pondok terbabit juga dilengkapi dengan kipas, lampu dan soket untuk keselesaan pengunjung.
"Tetapi kita tidak sediakan katil di pondok pokok ini, jadi pengunjung boleh bawa toto sendiri atau boleh sewa dengan kita," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.
Menurutnya, setakat ini mereka hanya mempunyai sebuah pondok pokok untuk disewa kepada pengunjung.
"Kita ada perancangan untuk tambah pondok pokok ini memandangkan sambutan yang diterima sangat baik.
"Cuma kita sedang mengenal pasti pokok yang bersesuaian, sebab bukan semua pokok sesuai untuk buat pondok di atasnya," katanya.
Ujar ibu kepada empat cahaya mata ini, idea pembinaan pondok pokok terbabit muncul selepas melihat ada pokok yang besar di tepi kolam.
"Saya duduk Kuala Lumpur, jadi bila balik kampung kita mesti nak rasa suasana yang aman jauh dari kesibukan kota, itu yang saya nak pengunjung rasa bila duduk di pondok ini," katanya.
Bercerita lanjut mengenai pembukaan Hamsha Village ini, Aishah berkata, sebenarnya kawasan terbabit pada mulanya adalah rumah persinggahan mereka sekeluarga.
"Tapi bila saya tengok kawasan dan panorama di sini yang sangat cantik dan tenang, timbul idea untuk komersialkan tanah di sini," katanya yang membeli tanah berkenaan pada Julai 2020.
Aishah yang sebelum ini merupakan penolong penerbit di RTM berkata, setakat ini sambutan orang ramai sangat baik termasuk dari luar Kedah.
"Selain beberapa jenis penginapan yang boleh disewa, kita juga mempunyai kolam mandi terbuka dengan bayaran serendah RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun dan RM8 untuk dewasa," katanya.
Jelasnya, pembinaan kawasan terbabit bermula pada Februari 2021 dan setakat ini masih terdapat 30 peratus pembinaan yang belum siap.
"Kita dalam perancangan untuk bina chalet atau gezebo di tengah kolam, jambatan dan tapak perkhemahan untuk memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang ingin menginap di sini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!