Biar Norza selesaikan misi

Mohamad Norza - Foto Bernama (Gambar kecil: Rashid)
Mohamad Norza - Foto Bernama (Gambar kecil: Rashid)
A
A
A

TINDAKAN Tan Sri Mohamad Norza Zakaria untuk terus kekal sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebagai satu langkah positif untuk badminton negara.

Legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek berkata, Mohamad Norza perlu terus diberikan kepercayaan untuk membimbing badan induk itu sekali gus merealisasikan dua lagi misinya sebelum melepaskan jawatan tersebut.

Menurut Rashid, Mohamad Norza sudah tentu mempunyai pelan tersendiri dan pertukaran tampuk persatuan akan turut menjejaskan perancangan yang telah diatur.

Laporan Sukan Sinar pada 17 Disember.
Laporan Sukan Sinar pada 17 Disember.

“Beliau lebih berpengalaman untuk menguruskan badminton Malaysia dan beliau perlu teruskan buat masa ini selain tahun depan cukup penting untuk kita meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024.

“Biarlah Norza selesaikan misi beliau dahulu. Saya nampak jika pertukaran presiden dilakukan buat masa sekarang, ia sudah tentu akan menjejaskan perancangan yang telah diatur.

“Lagipun, untuk presiden baharu ambil masa menyesuaikan diri dan mengetahui selok belok pengurusan BAM bukan sesuatu yang mudah. Sudah ada perancangan yang diatur, maka biarkan beliau teruskan dahulu," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Pada Ogos lalu, Mohamad Norza membuat kejutan apabila mengumumkan akan melepaskan jawatannya pada hujung tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Laporan muka belakang Sukan Sinar pada 17 Disember.
Laporan muka belakang Sukan Sinar pada 17 Disember.

Namun, pada Sabtu, beliau mengambil keputusan untuk terus kekal memimpin BAM selepas menerima saranan daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selain mendapat sokongan penuh kesemua Ahli Majlis BAM.

Malah, beliau turut menegaskan mempunyai dua lagi misi untuk diselesaikan sebelum melepaskan jawatan itu iaitu untuk memastikan pasukan badminton negara menjuarai Piala Thomas selain meraih pingat emas pertama pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Dalam pada itu, Rashid menasihatkan semua pihak untuk terus memberikan sokongan kepada Mohamad Norza dalam memastikan misi besar skuad badminton negara akan tercapai.

“Mungkin sebelum ini ada pihak yang tak puas hati dan sebagainya. Bagus mana pun seorang pemimpin itu, tetap akan ada yang tak puas hati juga.

“Jadi, ketepikan sikap dan pemikiran negatif tersebut dan fikirkan demi kemajuan sukan badminton kita," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!