Sabah rampas slot ketiga terbaik dari Kedah
BINTANG Sabah FC, Mohd Amri Yahyah melabuh karier bola sepak bersama The Rhinos dengan noktah cemerlang apabila membantu kelab Kepulauan Borneo itu menutup kempen Liga Super di kedudukan ketiga selepas mengatasi Kedah Darul Aman (KDA) FC, 2-0 di Kota Kinabalu pada Ahad.
Stadium Likas, anak buah Datuk Ong Kim Swee yang dikejutkan kekalahan 1-3 kepada kelab Indonesia, PSM Makassar dalam saingan Kumpulan H Piala AFC pada 14 Disember lalu bermula agresif memburu gol awal.
Kedah kendalian Nafuzi Zain sebelum perlawanan menduduki tangga ketiga dengan 53 mata dua mata mengatasi Sabah keempat hadir ke Likas dengan misi mengekalkan posisi tersebut.
Namun taktikal The Rhinos untuk memburu gol awal berjaya diterjemahkan dengan baik rangkaian jentera serangan pasukan tuan rumah.
Hasilnya, Irfan Fazail terlebih dulu menyudahkan sentuhan Ramon Machado bagi menewaskan penjaga gol skuad Kenari, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi pada minit ketujuh.
Gol itu ternyata menyemarakkan semangat pemain tuan rumah mengandakan asakan yang akhir menyaksikan Machado menjelmakan gol kedua selepas menyudahkan sentuhan Irfan pada minit ke-43.
Kedudukan dua gol itu kekal untuk tempoh separuh masa pertama dalam perlawanan yang disaksikan lebih 12,000 penyokong di laman keramat Rhinos.
Separuh masa kedua, skuad Kenari berusaha kembali dalam perlawanan dengan melakukan beberapa percubaan ke arah gawang Sabah yang dikawal Khairul Fahmi Che Mat.
Kim Swee akhirnya memasukkan Mohd Amri menggantikan Saddil Ramdani pada minit ke-85 bagi menambah kekuatan bahagian serangan.
Bagaimanapun keputusan dua gol kekal menyaksikan Sabah merampas kedudukan ketiga dari Kedah dengan 54 mata satu mata mengatasi pasukan lawan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!