Tebusan Israel ditembak tentera sendiri guna sisa makanan tulis mesej minta tolong

IDF berkata, pemeriksaan terhadap bangunan itu dijalankan dan mendapati terdapat mesej 'SOS' dan 'Mohon bantuan, 3 tebusan' yang ditulis pada kain.
IDF berkata, pemeriksaan terhadap bangunan itu dijalankan dan mendapati terdapat mesej 'SOS' dan 'Mohon bantuan, 3 tebusan' yang ditulis pada kain.
A
A
A

BAITULMAQDIS - Tiga tebusan Israel yang tersilap dibunuh oleh tentera zionis itu di Gaza pada Jumaat lalu telah menggunakan sisa makanan untuk menulis papan tanda memohon bantuan, kata laporan yang dikeluarkan Angkatan Pertahanan Israel (IDF).

Menurut IDF, ketiga-tiga tebusan itu telah ‘tinggal’ di bangunan bersebelahan lokasi mereka ditembak ‘untuk satu tempoh masa.’

Kepimpinan IDF juga mengakui, insiden menembak mati ketiga-tiga mangsa yang memegang baju putih sebagai melanggar 'peraturan tindakan.'

Susulan tindakan tersilap menembak tebusan sendiri, Israel berhadapan dengan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat khususnya dalam usaha untuk membebaskan lebih banyak tawanan.

Dianggarkan masih terdapat sekitar 120 orang dipercayai masih dalam tahanan pasukan pejuang Hamas di Semenanjung Gaza.

Mereka telah ditawan oleh Hamas pada 7 Oktober yang turut mengakibatkan kematian lebih 1,200 di selatan Israel.

Susulan itu, Israel telah melancarkan operasi balas dendam besar-besaran yang dilaporkan bertujuan untuk memusnahkan Hamas.

Sejak 7 Oktober lalu, lebih 19,000 orang telah terbunuh di Gaza sejak itu, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, dengan ratusan ribu kehilangan tempat tinggal.

Artikel Berkaitan:

Tiga tebusan Israel yang terbunuh itu pula dikenali sebagai Yotam Haim, 28, Samer Talalka, 22, dan Alon Shamriz, 26.

Seorang pegawai tentera Israel, yang tidak mahu namanya disiarkan, berkata siasatan awal yang dibuat oleh IDF mencadangkan tiga tebusan itu muncul tanpa berbaju dari sebuah bangunan, dengan seorang daripada mangsa memegang sebatang kayu berikat kain putih.

Pegawai itu menegaskan, salah seorang askar di lapangan berasa terancam, kerana lelaki berkenaan berada pada jarak berpuluh-puluh meter dan mengisytiharkan diri sebagai 'pengganas' menyebabkan tembakan dilepaskan.

Ekoran tembakan itu, dua tebusan serta-merta manakala mangsa ketiga yang cedera, kembali ke bangunan tempat dia bersembunyi.

Susulan itu, tebusan yang terselamat kedengaran menjerit meminta pertolongan kedengaran dalam bahasa Yahudi seraya menyebabkan komander batalion mengarahkan tentera untuk menghentikan tembakan.

Tidak lama kemudian, tebusan yang terselamat itu muncul semula, namun, dia juga ditembak dan dibunuh oleh tentera Israel, jelas pegawai itu lagi.

Tidak pasti sama ada ketiga-tiga tebusan Israel itu telah ditinggalkan oleh penculik atau melarikan diri, tambah pegawai itu.

Pada hari Ahad, IDF berkata, pemeriksaan terhadap bangunan itu dijalankan dan mendapati terdapat mesej 'SOS' dan 'Mohon bantuan, 3 tebusan' yang ditulis pada kain.

Sejak berakhirnya gencatan senjata sementara antara Israel dan Hamas awal bulan ini, keluarga tebusan telah menggesa kerajaan Israel mencapai gencatan senjata baharu untuk sekurang-kurangnya beberapa tawanan dibebaskan.

Perjanjian awal membawa kepada pembebasan lebih daripada 100 tebusan, sebagai pertukaran untuk rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah menolak seruan itu sambil menegaskan, "tekanan ketenteraan diperlukan untuk mengembalikan tebusan dan untuk kemenangan."

Di tengah-tengah korban orang awam Palestin yang semakin meningkat, Israel menghadapi tekanan antarabangsa yang semakin meningkat termasuk daripada sekutu utama negara itu, Amerika Syarikat. - Awani/Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!