Dua maut, 12 cedera dalam kemalangan berasingan
KUALA SELANGOR - Sorang maut manakala lapan lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Batu 3, Jalan Bernam dari arah Kuala Selangor menghala Tanjong Karang pada Ahad.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.05 minit malam.
Menurutnya, seramai enam anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang tiba di lokasi kejadian
"Kemalangan membabitkan tiga kereta iaitu sebuah Perodua Bezza, Honda City, Nissan Almera serta seorang orang awam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ahmad Mukhlis berkata, salah seorang daripada dua mangsa yang menaiki Perodua Bezza, dikenali sebagai Norsyam Nassullah Rahim, 23, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala wanita dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan di dagu dan patah kaki kiri.
Beliau memberitahu, seramai empat mangsa menaiki Honda City dan dua mangsa Nissan Almera mengalami kecederaan, manakala orang awam membantu di tempat kejadian mengalami cedera parah.
"Mangsa maut kemudian dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk proses bedah siasat manakala lain dihantar di hospital sama untuk menerima rawatan lanjut," katanya.
Sementara itu, katanya dalam kes berasingan, Ahmad Mukhlis memberitahu, seorang maut manakala empat cedera dalam kemalangan sebuah kereta yang melanggar penutup longkang di Sungai Nibong, Sekinchan pada Isnin.
Beliau berkata, kemalangan itu mengorbankan seorang wanita berusia 40 tahun dan empat mangsa termasuk dua kanak-kanak cedera.
"Bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 5.58 pagi.
"Siasatan awal mendapati keluarga itu dalam perjalanan pulang dari Sungai Besar menuju ke rumah mereka di sekitar daerah ini.
"Sejurus di tempat kejadian, kereta Proton Saga dinaiki mereka dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar struktur penutup longkang simen," tambah beliau.
Ahmad Mukhlis memberitahu, wanita itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian.
"Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an pula tersepit di bahagian pemandu dan berjaya dikeluarkan bomba.
"Mangsa lain termasuk wanita berusia 23 tahun yang cedera dan kesemuanya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah Sabak Bernam," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!