'Cadangan pilihan raya PBT timbulkan provokasi'
MELAKA - Cadangan untuk mengadakan pillihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak sewajarnya dibangkitkan dan didakwa menimbulkan provokasi terhadap status quo persefahaman antara kaum yang dikecapi selama ini.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata, kenyataan seperti itu tidak perlu dan hanya mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, percaya Kerajaan Perpaduan sendiri juga tidak selesa kerana pendapat terbabit membuka ruang supaya ada perbincangan dan perbezaan pandangan yang akan melebarkan rasa tidak senang.
"Pemuda UMNO tidak sesekali berkompromi dengan apa jua cadangan dan tindakan seumpama ini, berada dalam kerajaan yang sama tidak bermaksud boleh bersetuju dalam semua perkara kerana kerajaan ini bukanlah kerajaan DAP.
"Kerajaan ini dibina dengan kehadiran UMNO dan segala keputusan melibatkan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan raja-raja Melayu kami tidak akan sedikit pun berganjak apa lagi mengalah," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN:Kok Wai cadang pilihan raya PBT dimulakan di Kuala Lumpur
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, selama enam dekad Malaysia ditadbir, ia berdasarkan konsensus dan kemuafakatan malah disokong serta disenangi oleh majoriti.
Menurutnya, kenyataan-kenyataan seperti itu seolah-olah ada mesej atau isyarat tersirat yang hendak disampaikan.
"Pemimpin DAP harus lebih sensitif serta menghormati keharmonian sedia ada, bukan membangkitkan rasa tidak senang dan pesimis dalam kalangan masyarakat serta sesama kaum," katanya lagi.
Terdahulu, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai ketika berucap dalam Konvensyen DAP Kuala Lumpur baru-baru ini mencadangkan supaya kerajaan mengembalikan semula pilihan raya PBT di peringkat bandar raya Kuala Lumpur.
Ia susulan rombakan Kabinet baru-baru ini yang menyaksikan pelantikan menteri bagi portfolio khusus untuk Wilayah Persekutuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!